Rabu, 30 March 2022 | 3:28pm
Data terkini menunjukkan bahawa kira-kira 6.1 juta ahli KWSP mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM10,000 dalam akaun - Foto fail NSTP
Data terkini menunjukkan bahawa kira-kira 6.1 juta ahli KWSP mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM10,000 dalam akaun - Foto fail NSTP

Sistem perlindungan sosial negara perlu diperbaharui

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu segera memperbaharui sistem perlindungan sosialnya bagi memastikan rakyat tidak menghadapi masalah kewangan yang serius pada masa depan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau membuat gesaan itu selepas data terkini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan bahawa kira-kira 6.1 juta ahli KWSP mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka dan dalam kalangan mereka 3.6 juta ahli mempunyai kurang daripada RM1,000.

"Pandemik memberi peringatan kepada kita sekali lagi bahawa kita perlu melakukan pembaharuan dalam sistem perlindungan sosial kita dengan segera.

"Ia bukan suatu yang mudah dan juga tidak boleh berlaku dalam sekelip mata, tetapi ia perlu dimulakan sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena pelancaran penerbitan Laporan Tahunan BNM 2021 (AR 2021), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 (EMR 2021) serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi separuh kedua 2021 secara maya, hari ini.

Menurutnya, memandangkan ekonomi sekarang sedang menunjukkan petanda pemulihan, rakyat perlu mula perlahan-lahan membina semula penampan kewangan mereka.

Sementara itu, Timbalan Gabenor, Jessica Chew, berkata meskipun bank pusat menyedari bahawa pengeluaran itu akan membantu ramai orang yang sedang bergelut untuk bangkit semula daripada pandemik dan bencana banjir baru-baru ini, namun angka daripada data KWSP itu adalah 'sangat membimbangkan'.

Justeru, katanya, perlu ada dasar yang boleh bertindak balas bersekadar kepada situasi yang sedang dialami negara sekarang ini.

"Langkah-langkah seperti ini (pengeluaran KWSP) perlu digunakan dengan berhati-hati, sangat berhati-hati dan hanya dalam situasi yang benar-benar genting," katanya.

Dalam pada itu, Nor Shamsiah berkata, nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada 89 peratus, lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Singapura (69.7 peratus), Indonesia (17.2 peratus) dan Filipina (9.9 peratus).

"Kami sedang memantau rapat paras hutang tinggi itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau percaya penambahbaikan dalam pasaran dan bantuan bersasar akan menyokong lagi kapasiti melunaskan hutang.

Berita Harian X