Selasa, 29 March 2022 | 4:01pm
Semua komponen utama kos ladang meningkat seperti baja, buruh, bahan api, cukai dan ESG - Foto Reuters
Semua komponen utama kos ladang meningkat seperti baja, buruh, bahan api, cukai dan ESG - Foto Reuters

Pengusaha ladang sawit mampu tangani kenaikan kos

KUALA LUMPUR: Pengusaha ladang kelapa sawit boleh menangani peningkatan kos operasi iaitu di antara 10 dan 15 peratus, dengan menambah baik hasil buah tandan segar (FFB) untuk mengurangkan kos pengeluaran mereka bagi setiap tan, kata CGS-CIMB Securities Sdn Bhd.

Ketua Penyelidikannya, Ivy Ng berkata syarikat-syarikat perladangan dijangka berhadapan masalah kos tahun ini kerana semua komponen utama kos ladang meningkat seperti baja, buruh, bahan api, cukai dan pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi pada masa ini juga mampu mengimbangi kenaikan kos pengeluaran bagi syarikat perladangan dan pekebun kecil.

"Bagaimanapun, harga MSM yang tinggi dijangka tidak kekal dalam jangka sederhana," katanya di Seminar Internet Minyak Sawit (Pointers) hari ini.

Ng juga berkata bahawa hasil FFB boleh bertambah baik melalui produktiviti yang lebih tinggi di estet melalui pengambilan pekerja asing bagi mengurangkan isu kekurangan buruh.

Ini, katanya, akan membolehkan input baja tepat pada masanya, penanaman semula pokok sawit tua dengan benih yang tinggi hasilnya serta amalan agronomi yang lebih baik.

Dalam jangka sederhana, beliau berkata, penggunaan jentera untuk beberapa aktiviti perladangan bagi meningkatkan produktiviti boleh menjadi satu lagi cara mengurangkan kos.

Ng menambah, Malaysia menubuhkan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) untuk menerokai teknologi penjenteraan/mekanisasi dan automatik untuk ladang kelapa sawit ke arah meningkatkan produktiviti, fokus khusus kepada operasi penuaian FFB dan mengurangkan pergantungan kepada penuai kelapa sawit.

Sementara itu, beliau turut berkata, kerajaan dijangka mengutip lebih RM1 bilion levi cukai keuntungan luar biasa pada 2022 berdasarkan unjuran harga purata MSM pada RM4,250 satu tan metrik dan pengeluaran sebanyak 19 juta tan metrik.

Bertemakan 'Assessing 2022: Managing Opportunities and Risks' (Menilai 2022: Menangani Peluang dan Risiko), seminar itu menampilkan enam pembentangan merangkumi topik antara lainnya seperti penawaran dan permintaan minyak dan lemak, prospek harga dan pasaran dan peluang bagi minyak sawit di pasaran Asia Tengah dan Timur Tengah & Afrika Utama (MENA).

Seminar itu berlangsung dari 28 Mac hingga 1 April 2022.

-BERNAMA

Berita Harian X