Selasa, 29 March 2022 | 11:09am
(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Proses pinjaman lebih mudah, pacu pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR: Sistem kewangan yang memudahkan transaksi antara pemberi pinjaman dan peminjam dengan menyediakan akses kepada modal diperlukan dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata institusi kewangan memainkan peranan penting dalam menyokong pemulihan ekonomi negara.

"Kerajaan dan industri perbankan mengambil langkah berani pada kemuncak pandemik COVID-19 terutamanya inisiatif penangguhan semua bayaran balik pinjaman untuk tempoh enam bulan.

"Justeru, adalah menjadi harapan saya supaya bank akan kembali bekerjasama dengan kerajaan untuk memacu pemulihan ekonomi.

"Saya berharap institusi kewangan akan melakukan yang terbaik untuk memudahkan akses kepada pembiayaan untuk perniagaan, terutamanya dalam industri yang terjejas teruk seperti penerbangan, pelancongan dan hospitaliti," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Kewangan dan Perbankan Malaysia 2022 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden KSI Strategic Institute for Asia-Pasific, Tan Sri Michael Yeoh; Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar; dan Pengerusi Kelab Ekonomi Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Iqbal Rawther.

Mustapa berkata, 2022 bukan sahaja menjadi tahun penting untuk pemulihan ekonomi, malah menjadi satu peluang memperbaharui ekonomi kerana matlamat Malaysia adalah untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

"Kita mesti meningkatkan pelaburan dalam modal insan dan bakat; meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula tenaga kerja; memacu daya saing dan inovasi; memperbaharui serta mengukuhkan institusi kita; meluaskan dan mendalami jaringan keselamatan sosial; serta memastikan pengagihan pendapatan yang lebih saksama.

"Sudah tiba masanya, kita mengemudi reformasi dan perubahan dalam mentransformasikan Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2025. Dalam kes sektor kewangan, Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 menunjukkan kita jalan ke hadapan," katanya.

Beliau menegaskan, sektor kewangan perlu terus memainkan peranan penting dalam agenda kemapanan.

"Setakat ini, sejumlah 270 bank mewakili 45 peratus daripada aset perbankan di seluruh dunia telah menyatakan komited kepada Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Prinsip Perbankan Bertanggungjawab dalam menjajarkan hala tuju strategik mereka.

"Oleh itu, terdapat keperluan untuk institusi kewangan di Malaysia mengikutinya bank di peringkat global," katanya.

Berita Harian X