Isnin, 28 March 2022 | 8:30pm
(Gambar fail) Pekerja, Shahrul Bahri memotong tandan kelapa sawit yang dikumpulkan untuk ditimbang dan dijual ke kilang pemprosesan minyak sawit mentah di Pusat Pengumpulan Kelapa Sawit di Sungai Balang, Muar. - NSTP/ADI SAFRI
(Gambar fail) Pekerja, Shahrul Bahri memotong tandan kelapa sawit yang dikumpulkan untuk ditimbang dan dijual ke kilang pemprosesan minyak sawit mentah di Pusat Pengumpulan Kelapa Sawit di Sungai Balang, Muar. - NSTP/ADI SAFRI

Hasil eksport minyak, produk sawit meningkat - MPOB

KUALA LUMPUR: Hasil eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit lain dijangka meningkat 1.4 peratus kepada RM110 bilion tahun ini daripada RM108.52 bilion pada 2021, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata hasil yang lebih tinggi dijangka diperoleh terutamanya daripada eksport minyak sawit yang lebih tinggi iaitu 9.2 peratus kepada 17 juta tan tahun ini dalam persekitaran kekurangan minyak sayuran global.

"Tahun 2022 dijangka membawa prospek yang lebih cerah bagi industri minyak sawit Malaysia dengan semua petunjuk utama industri itu diunjurkan menunjukkan prestasi lebih baik," katanya pada Seminar Internet Minyak Sawit (Pointers), hari ini.

Beliau berkata MPOB menjangka pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 19 juta tan tahun ini daripada 18.12 juta tan pada 2021, menyebabkan stok minyak sawit meningkat 21.1 peratus kepada 1.95 juta tan daripada 1.61 juta tan dalam 2021 .

Ahmad Parveez berkata konflik antara Rusia dan Ukraine telah mengakibatkan lonjakan permintaan untuk minyak sawit kerana ia adalah minyak sayuran yang paling banyak didapati.

Beliau berkata Rusia dan Ukraine mengeluarkan minyak bunga matahari, minyak sayuran ketiga paling banyak didagangkan di dunia selepas minyak sawit dan minyak kacang soya dan menyumbang 77 peratus daripada eksport minyak bunga matahari global pada tahun 2020 hingga 2021.

Kenaikan levi eksport minyak sawit mentah Indonesia juga telah memanfaatkan eksport minyak sawit Malaysia, katanya.

Ahmad Parveez berkata industri itu berjaya menyesuaikan diri dengan kebaiasaan baharu walaupun mengalami pelbagai halangan di peringkat domestik dan global.

Menurutnya, beliau memberi jaminan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bahawa MPOB dan agensi berkaitan lain akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri dalam menghadapi cabaran yang sedang berlaku sekarang bagi kelangsungan industri minyak sawit tempatan.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa dalam pembentangannya berkata MSM dijangka didagangkan lebih rendah antara RM5,300 dan RM5,600 setiap tan pada April dan dijangka turun lagi antara RM5,000 dan RM5,500 setiap tan pada bulan Mei.

Bertemakan "Assessing 2022: Managing Opportunities and Risks", seminar itu menampilkan enam pembentangan merangkumi topik seperti penawaran dan permintaan minyak dan lemak, harga dan prospek pasaran serta peluang minyak sawit di pasaran Asia Tengah dan Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), antara pasaran berkenaan.

Seminar ini berlangsung dari 28 Mac hingga 1 April.

– Bernama

Berita Harian X