Isnin, 28 March 2022 | 2:39pm
Gambar fail. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Gambar fail. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

MPOB laksana strategi rentas lima teras agrikomoditi

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kini dalam proses untuk melaksanakan strategi yang sejajar dengan lima teras Dasar Agrikomoditi Kebangsaan 2021-2030 (DAKN 2030) bagi mempercepat pertumbuhan sektor minyak sawit.

Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata MPOB sedang memperkukuh langkah dan mekanisme, termasuk pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) oleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) oleh penanam sawit termasuk pekebun kecil bagi memastikan amalan baik terbabit dilaksanakan secara konsisten di seluruh rantaian bekalan.

"Piawaian MSPO juga sedang disemak dengan menerapkan prinsip dan kriteria lebih ketat sejajar dengan piawaian kemampanan global dan keperluan kebolehkesanan yang dibangunkan.

"Bagi tempoh sehingga 28 Februari 2022, kira-kira 95 peratus kawasan tanaman sawit di Malaysia telah mendapat Pensijilan MSPO," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Parveez berkata, MPOB turut membantu pekebun kecil dalam pelaksanaan amalan pertanian baik seperti penggunaan baja secara optimum, kawalan perosak dan penyakit yang berkesan, amalan penuaian dan pengurusan ladang untuk mencapai hasil yang maksimum.

"MPOB akan menyediakan latihan untuk pekebun kecil melalui khidmat pengembangan dan tunjuk ajar serta menerusi kerjasama dengan syarikat perladangan bagi meningkatkan kecekapan dalam pengurusan ladang selain bimbingan untuk pensijilan MSPO

"Pekebun kecil itu akan turut dibantu untuk melaksanakan penanaman semula manakala syarikat perladangan digalakkan mengoptimumkan program penanaman semula menerusi penggunaan bahan tanaman berhasil tinggi untuk memaksimumkan keuntungan jangka panjang," katanya.

Menurutnya, MPOB sedang berusaha untuk meningkatkan produktiviti buruh dalam sektor huluan dengan mempergiat penyelidikan mekanisasi dan automasi untuk operasi perladangan melalui kerjasama sektor awam dan swasta.

Bagi sektor pertengahan, MPOB memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi untuk mengautomasikan keseluruhan proses pengilangan buah sawit, meningkatkan kawalan kualiti di kilang sawit dan kilang penapisan serta penggredan buah tanda segar (BTS) dan proses pembuangan sampah di kilang.

Ini akan disokong oleh bantuan teknikal dan proses pensijilan untuk membantu kilang yang ketinggalan untuk menaik taraf operasi dan kecekapan masing-masing, kata beliau.

Ahmad Parveez berkata, aktiviti hiliran pula menyaksikan MPOB memberi tumpuan terhadap penghasilan teknologi produk makanan dan bukan makanan berprestasi dan bernilai tinggi.

"Kami menghasilkan teknologi untuk produk berasaskan sawit berkualiti tinggi yang sesuai dengan keadaan iklim tempatan dan negara pengimport sambil memberi kelebihan kos dan khasiat pemakanan.

"Produk makanan yang berpotensi termasuk minyak masak dan lemak pepejal serta bahan makanan bernilai tinggi seperti pengganti mentega koko untuk penghasilan coklat, roti dan lemak konfeksi, mentega dan pengganti lemak susu manakala bukan makanan termasuk produk oleokimia dan biobahan api," katanya.

– Bernama

Berita Harian X