Khamis, 24 March 2022 | 12:10pm
Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Muhammad Azmi Zulkifli
Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Muhammad Azmi Zulkifli

InvestKL mahu bawa masuk pelaburan RM35 bilion

KUALA LUMPUR: Pelaburan keseluruhan yang dibawa masuk oleh InvestKL ke Greater Kuala Lumpur (Greater KL) disasar akan mencecah RM35 bilion menjelang 2030, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Azmi Zulkifli.

Beliau berkata, sasaran pelaburan terkumpul diluluskan sejak 2011 itu mampu dicapai bersandarkan kepada rangkaian yang kekal kukuh meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global, kenaikan harga tenaga dan krisis geopolitik.

"Rangkaian pelaburan ke Malaysia kekal kukuh dan kami bersedia untuk memajukan agenda mampan Malaysia dengan menyasarkan pelaburan khusus dan peringkat tinggi terutama dalam bidang teknologi digital, perkhidmatan global serta penawaran inovatif," katanya pada taklimat media mengenai prestasi InvestKL 2021 di sini, hari ini.

Bagi tahun ini, Muhammad Azmi berkata, InvestKL menyasarkan untuk menarik pelaburan dari kira-kira 10 syarikat multinasional (MNC) dan syarikat berimpak tinggi dengan membawa masuk pelaburan sekurang-kurangnya RM2 bilion ke Greater KL.

"Antara syarikat yang dijangka melabur di Greater KL kebanyakannya terbabit dalam teknologi digital, perkhidmatan global dan inovatif," katanya.

Sejak 2011 hingga 2021, InvestKL berjaya menarik sejumlah RM18.3 bilion pelaburan yang diluluskan dan komited menerusi penubuhan 116 hab perkhidmatan global oleh MNC terkemuka dan syarikat berkembang pesat.

Setakat tahun lalu, sejumlah 16,392 pekerjaan eksekutif serantau telah diwujudkan kepada rakyat Malaysia.

Pada 2021, sejumlah RM2.46 bilion pelaburan diperoleh menerusi penubuhan 13 hab perkhidmatan global dan mewujudkan 2,281 pekerjaan eksekutif serantau, menjadikan tahun berprestasi terbaik untuk InvestKL dalam dekad lalu.

Mengulas mengenainya, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata prestasi cemerlang InvestKL adalah bukti keyakinan pelabur asing terhadap ekosistem perniagaan Malaysia dan Greater KL sebagai destinasi pilihan untuk aktiviti perniagaan pertumbuhan serta berimpak tinggi, menjadikannya lokasi yang sangat baik untuk menubuhkan pejabat dan hab wilayah.

"Ini akan membuka laluan kepada hubungan perdagangan yang lebih baik memandangkan prestasi perdagangan tertinggi tahun lalu melepasi RM2 trilion, meletakkan Malaysia pada trajektori pertumbuhan.

"Saya yakin kita akan dapat mencapai tahap yang lebih tinggi dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggandakan usaha untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing.

"Ia dapat dicapai dengan strategi baharu untuk memacu pertumbuhan selanjutnya bagi ekonomi digital, teknologi hijau, sektor Revolusi Perindustrian Keempat, pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar iaitu Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta kerjasama rentas sempadan yang dipertingkatkan dalam pengurusan rantaian bekalan," katanya menerusi satu kenyataan.

Mohamed Azmin menegaskan, dengan RCEP mula berkuat kuasa, lokasi strategik Malaysia dan Greater KL di Asia dilihat bersedia untuk mengukuhkan lagi peranan kritikal Malaysia dalam rantaian bekalan global untuk perkhidmatan dan industri.

Greater KL menawarkan pelabur ekosistem digital dan inovasi yang semakin mantap, tempat ujian yang tersedia, ketersediaan bakat berdaya saing dan dasar kerajaan yang menyokong perniagaan.

Cadangan menarik itu membawa kepada penubuhan 13 hab perkhidmatan global tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sejumlah 60 peratus adalah syarikat dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Eropah, manakala baki 40 peratus lagi adalah dari Asia.

Syarikat berkenaan adalah Ingredion, Quantum, VF Corporation and FedEx (AS); Hannover Re (Germany); Akzo Nobel (Belanda); Radius Payment Solutions (UK); Commerzbank (Jerman); FWD Insurance dan Plaza Premium Group (Hong Kong), Pan Pacific International Holdings Group dan Cultural Convenience Club (Jepun); serta CRCC (China).

Muhammad Azmi berkata, pelabur mahu membina masa depan yang mampan sambil meneruskan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Mereka melabur dalam teknologi baharu yang akan membantu mereka berkembang secara lebih bertanggungjawab. Kami bekerjasama rapat dengan MITI untuk meletakkan Greater KL sebagai pintu masuk pelaburan ke Malaysia.

"Dengan lebih 100 kisah kejayaan, kemudahan yang kami tawarkan dapat memastikan semua pelabur menikmati perjalanan pelaburan yang pantas, lancar dan dipercepatkan," katanya.

Berita Harian X