X
Selasa, 22 March 2022 | 8:01pm
ECERDC mencatatkan pelaburan komited bernilai RM19.7 bilion di Pahang setakat Disember 2021 - Foto ECERDC
ECERDC mencatatkan pelaburan komited bernilai RM19.7 bilion di Pahang setakat Disember 2021 - Foto ECERDC

ECERDC sasar komitmen pelaburan RM8 bilion di Pahang

KUANTAN: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan menarik pelaburan komited bernilai RM8 bilion untuk Pahang pada tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baidzawi Che Mat.

Beliau berkata, pelaburan itu mampu mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan baharu dan 400 peluang keusahawanan bagi rakyat Pahang.

"Pelaburan yang berpotensi pada tahun ini merangkumi pengeluaran bahan guna perubatan, pemprosesan silika, pengeluaran aloi dan mineral. ECERDC juga menyasarkan untuk merealisasikan pelaburan berjumlah RM3.7 bilion di negeri ini pada 2022," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0) dari 2018 hingga Disember 2021, ECERDC mencatatkan pelaburan komited bernilai RM19.7 bilion iaitu 64 peratus daripada sasaran EMP2.0 yang berjumlah RM31 bilion untuk Pahang sehingga 2025.

"Daripada jumlah ini, 54 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI) dan 46 peratus adalah pelaburan langsung domestik (DDI)," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan salah satu projek utama ECERDC untuk mengukuhkan tarikan pelaburan ke Pahang ialah pembinaan projek bekalan air Kemaman-Gebeng sepanjang 29 kilometer yang mana apabila siap kelak, projek ini bakal menyalurkan air dari Kemaman, Terengganu, ke Gebeng, Pahang dan akan memenuhi permintaan masa depan pelabur di kawasan perindustrian Gebeng.

Katanya, projek lain yang sedang dijalankan ialah menaik taraf jeti Kampung Salang, Kampung Genting dan jambatan Sungai Mangkai di Tioman selain menaik taraf Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating serta Pantai Hiburan Rompin yang akan mengukuhkan industri pelancongan pulau dan pesisir pantai di Pahang.

"Kejayaan menarik pelaburan yang menggalakkan dalam tempoh mencabar ini sememangnya bukti kerjasama erat di antara ECERDC, kerajaan Persekutuan dan negeri.

"ECERDC akan meneruskan usaha untuk menarik pelaburan ke dalam bidang tumpuan utama Pahang sambil meneroka industri baharu seperti pembuatan dan pelancongan Kenderaan Rekreasi (RV)," katanya.

Mengulas mengenai industri RV, ECERDC menyasarkan untuk menarik pelabur Jerman bagi mengeluarkan kenderaan RV di Taman Automotif Pekan, selain Pantai Hiburan Rompin dan Tasik Bera yang dikenal pasti untuk pembangunan taman RV.

Selain itu, ECERDC merancang untuk mengekalkan sejarah Sungai Lembing sebagai tapak perlombongan bijih timah bawah tanah paling dalam dan terpanjang yang bakal menjadikan tempat itu sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang menarik, katanya.

Tahun ini, Baidzawi berkata, pihaknya menyasarkan untuk melatih 2,200 pelajar daripada 55 sekolah di 11 daerah di Pahang di bawah program empower ECER Latihan Akademik manakala program empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan pula menyasarkan untuk melatih seramai 876 peserta di enam daerah.

Pada tahun ini juga, seramai 430 peserta akan dilatih menerusi program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)-ECERDC dan antara kursus yang ditawarkan ialah kimpalan dan Pasport Keselamatan Minyak dan Gas (OGSP).

-BERNAMA

Berita Harian X