Isnin, 21 March 2022 | 4:35pm
Gambar fail. Pekebun mengangkat buah sawit di sebuah ladang di Pagoh. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Gambar fail. Pekebun mengangkat buah sawit di sebuah ladang di Pagoh. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Sistem atasi curi, tipu timbang buah sawit diperluas

SEPANG: Sistem Elektronik Tandan Buah Segar (e-FFB) yang merupakan projek perintis dalam talian bagi menangani isu kecurian dan penipuan timbangan dalam industri sawit akan ditambah baik sebelum diperluaskan ke seluruh negara, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai berkata projek perintis e-FFB itu telah dilaksanakan di Tanjung Piai pada 1 April tahun lalu membabitkan 6,045 pekebun kecil dan kawasan kelapa sawit seluas 11,954 hektar.

Katanya sistem yang dibangunkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu bertujuan memantau dan melaporkan transaksi buah tandan segar (FFB) secara telus dan ia menggalakkan pekebun kecil persendirian menyimpan rekod penyelenggaraan kebun dan hasil masing-masing.

"Sebelum ini segelintir pekebun kecil hilang pendapatan di antara 20 hingga 25 peratus kerana isu kecurian dan penipuan timbangan buah. Sistem ini memastikan urus niaga yang lebih telus, sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan sewajarnya," katanya kepada media selepas menghantar 15 jemaah umrah dari Tanjung Piai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Jeck Seng berkata sistem itu juga dapat mengesan pekebun kecil khususnya golongan B40 dengan keluasan tanah empat hektar ke bawah untuk penyaluran bantuan kerajaan yang lebih bersasar.

"Sistem ini yang mempunyai rekod pekebun kecil dengan keluasan tanaman masing-masing itu akan memastikan nasib mereka terbela," katanya.

– Bernama

Berita Harian X