Jumaat, 18 March 2022 | 11:39am
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Lonjakan harga komoditi manfaatkan banyak pihak

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan yang kukuh dan menggalakkan harga komoditi global tahun ini bakal memberi manfaat kepada pemilik ladang, sama ada daripada konglomerat tersenarai hinggalah kepada pekebun kecil selain peserta industri lain berkaitan.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata pihaknya yakin harga komoditi global yang menggalakkan dan pertumbuhan kukuh dalam sektor itu akan membantu mempercepatkan lagi Pelan Pemulihan Nasional (PPN).

Katanya, sebagai contoh, hasil eksport minyak sawit bagi 2022 dijangka meningkat 11.8 peratus kepada RM72.25 bilion daripada RM64.62 bilion yang dicatatkan pada 2021.

"Sementara itu, eksport kayu dan produk kayu dijangka berjumlah RM24 bilion atau meningkat 5.52 peratus berbanding 2021 yang bernilai RM22.74 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida berkata, manfaat yang diterima oleh pemilik ladang seterusnya akan diterjemahkan kepada keuntungan yang lebih tinggi dan membantu kerajaan meningkatkan hasil cukainya.

"Peningkatan hasil cukai akan membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak projek sosio-ekonomi dalam semangat 'Keluarga Malaysia'. Ini termasuk membina sekolah, hospital, jalan raya dan menyampaikan bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan unjuran purata harga minyak sawit mentah (MSM) bagi 2022 sebanyak RM4,250 satu tan dan unjuran pengeluaran MSM bagi 2022 sebanyak 19 juta tan, adalah dianggarkan jumlah kutipan cukai keuntungan pada 2022 akan melebihi RM1 bilion.

Katanya, industri minyak sawit juga dianggarkan menjana hasil cukai bernilai RM2 bilion lagi daripada cukai eksport pada 2022.

Tambahnya lagi, perkembangan ini tepat pada masanya memandangkan kerajaan membelanjakan berbilion ringgit sejak dua tahun lalu untuk membantu rakyat berikutan krisis berkembar pandemik COVID-19 serta kemerosotan ekonomi.

"Kementerian gembira kerana dapat membantu usaha kerajaan dalam masa yang sukar ini. KPPK akan meningkatkan usaha membantu peserta industri di bawah bidang kuasanya merebut peluang ekonomi ini, termasuk membuka lebih banyak pasaran untuk komoditi kami.

"Sejak dua bulan lalu, saya mengetuai misi perdagangan yang meluas di luar negara untuk membuka pasaran bagi komoditi kita. Negara-negara seperti Iran, Turki, India dan China menyatakan minat untuk meningkatkan import komoditi kita.

"Beberapa negara meningkatkan pembelian mereka untuk produk ini, sementara yang lain sedang dalam proses memuktamadkan perjanjian perdagangan," katanya.

Beliau berkata, China antaranya dijangka mengimport tambahan 500,000 tan minyak sawit dari Malaysia pada tahun ini.

"India dijangka menjadi destinasi pasaran utama negara untuk minyak sawit Malaysia, dengan tambahan import sebanyak dua juta tan tahun ini.

"Negara itu dijangka menghadapi kekurangan minyak yang boleh dimakan kerana bergantung kepada minyak bunga matahari dari Ukraine dan perubahan kepada dasar eksport kelapa sawit Indonesia. Minyak sawit Malaysia akan membantu mengisi kekosongan ini di India," katanya.

Zuraida berkata, KPPK juga akan membantu peserta industri, terutama pekebun kecil untuk menjadikan perniagaan lebih mampan pada masa depan.

Ini, katanya, termasuk usaha untuk mengautomasikan perniagaan, meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dan mengurangkan pergantungan kepada buruh asing.

"Ini boleh dilakukan dengan strategi pelaburan semula yang betul berikutan peningkatan perolehan.

"Sebagai contoh, skim pembiayaan mudah tanam semula pekebun kecil bertujuan menyediakan pembiayaan mudah kepada mereka untuk menanam semula kelapa sawit yang tidak produktif.

"Ia menawarkan kadar faedah rendah dua peratus dan tempoh moratorium selama 48 bulan," katanya.

Berita Harian X