Khamis, 17 March 2022 | 10:46am
Bakat berkemahiran memberi sumbangan kritikal terhadap pertumbuhan produktiviti dan agihan gaji - Foto hiasan
Bakat berkemahiran memberi sumbangan kritikal terhadap pertumbuhan produktiviti dan agihan gaji - Foto hiasan

Kurang mahir punca majikan beri gaji rendah

KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia dalam Purata Tahun Persekolahan menggambarkan kekurangan kemahiran dalam kalangan pekerja tempatan sehingga menyebabkan sumbangan gaji yang rendah oleh majikan.

Purata Tahun Persekolahan adalah petunjuk yang biasa digunakan untuk mengukur tahap kemahiran berdasarkan jumlah tahun seseorang pekerja menerima pendidikan.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Dr Abdul Latif Abu Seman, berkata data di peringkat nasional dan antarabangsa menunjukkan hubung kait rapat antara bakat berkemahiran dengan produktiviti dan upah serta pampasan pekerja.

Beliau berkata, laporan 'World Competitiveness Yearbook' (WCY) oleh Institute of Management Development (IMD) menunjukkan kedudukan Malaysia di tangga ke-25 untuk petunjuk Tenaga Buruh Mahir, menyumbang kepada kedudukan global yang agak rendah bagi petunjuk berkaitan produktiviti di tempat ke-33 dalam kalangan 64 ekonomi dunia.

"Kita bandingkan dengan Singapura yang berada di kedudukan ke-20 bagi petunjuk Tenaga Buruh Mahir dan tempat ke-14 untuk indikator produktiviti.

"Data Laporan WCY ini menunjukkan hubung kait jelas antara peningkatan tenaga kerja mahir dan produktiviti pekerja dengan agihan gaji pekerja, di mana kita sedia maklum bahawa purata gaji tahunan di Singapura adalah jauh lebih tinggi dari Malaysia.

"Peningkatan kemahiran pekerja diikuti oleh peningkatan upah dan gaji serta diterjemahkan kepada pertumbuhan produktiviti yang pesat," katanya dalam satu kenyataan.

Laporan Daya Saing Global 2019 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-59 dengan nilai 10.2 tahun bagi indikator Purata Tahun Persekolahan dalam kalangan 141 negara.

Kedudukan ini adalah penurunan 10 mata dari 2018 di mana Malaysia berada pada kedudukan ke-49.

Malaysia dilihat ketinggalan apabila dibandingkan dengan Singapura yang berada di kedudukan ke-32 pada nilai 11.9 tahun.

Negara maju seperti United Kingdom dan Jerman mencatatkan nilai

Purata Tahun Persekolahan yang tinggi, masing-masing pada nilai 13.2 tahun dan 14.1 tahun.

Abdul Latif berkata, menyedari sumbangan kritikal bakat berkemahiran terhadap pertumbuhan produktiviti dan agihan gaji, Perbadanan MPC sedang melaksanakan Program Pembangunan Bakat, yang antara lainnya bertujuan untuk meningkatkan prestasi pencapaian pendidikan negara dengan menambah baik nilai purata tahun persekolahan.

"MPC sedang melaksanakan program pembangunan bakat yang meliputi dua program utama iaitu Academy in Factory (AiF) dan Sijil Perakuan Organisasi Kemakmuran Bersama Secara Atas Talian atau eSPO.

"AiF bertujuan menangani masalah kekurangan pekerja terutama dalam sektor pembuatan. Dalam jangka masa panjang, AiF dapat menyumbang kepada peningkatan Purata Tahun Persekolahan melalui pengiktirafan yang sewajarnya terhadap pendidikan berasaskan kerja.

"Ini sekali gus membina tenaga kerja berkemahiran mampan yang dapat memenuhi keperluan industri dan permintaan pasaran kerja," katanya.

Berita Harian X