Rabu, 16 March 2022 | 12:51pm
Projek MRT3 akan melengkapi jajaran perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang -Foto fail NSTP
Projek MRT3 akan melengkapi jajaran perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang -Foto fail NSTP

Model, kos pembangunan MRT3 munasabah

KUALA LUMPUR: Model pembangunan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dilihat sebagai munasabah kerana memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk menguruskan kewangan yang terhad, apabila kontraktor dijangka menyumbang kepada kos pembinaan awal.

Public Investment Bank dalam notanya berkata, tanggungjawab kos pembinaan awal serta risiko pelaksanaan akan ditanggung bersama oleh semua pihak terbabit memandangkan projek mega itu dibahagikan kepada lima pakej utama.

Kataya, dengan mengandaikan kos pendahuluan adalah sebanyak 30 peratus, maka jumlah yang akan disumbangkan dan dikongsi ialah RM9.3 bilion.

"Tidak seperti model rakan kongsi pelaksana projek (PDP) dan kontrak turnkey MRT1 dan MRT2 yang membabitkan MMC-Gamuda, penggunaan struktur Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) akan menambah beban kepada hanya satu kontraktor," katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, semalam mengumumkan bahawa proses tender bagi projek MRT3 dirancang bermula tahun ini melalui lima pakej utama untuk tempoh enam hingga lapan tahun.

Ketika menjawal sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, beliau berkata cadangan jajaran terkini bagi projek itu membabitkan lingkaran sepanjang 51 kilometer meliputi 39 kilometer di Kuala Lumpur dan 12 kilometer lagi di Selangor.

Public Investment Bank berkata, projek mega itu akan meletakkan MMC-Gamuda sebagai tumpuan untuk pakej bawah tanah memandangkan rekod prestasinya sebagai kontraktor untuk kerja-kerja terowong untuk projek MRT1 dan MRT2.

Katanya, MRT1 mempunyai laluan bawah tanah sejauh 9.5 kilometer dengan tujuh stesen bernilai RM8.2 bilion manakala MRT2 mempunyai 13.5 kilometer laluan melalui terowong bawah tanah dengan sembilan stesen bernilai RM13.1 bilion.

"Dengan mengandaikan harga yang sama bagi setiap kilometer daripada MRT2, pakej bawah tanah MRT3 boleh menelan kos sekitar RM10.7 bilion.

"Tidak seperti projek MRT1 dan MRT2 di mana kerja-kerja bertingkat dipecahkan kepada banyak kontrak, MRT3 hanya akan mempunyai dua pakej.

"Ini bermakna kontraktor seperti IJM Corporation, Sunway Construction, TRC Synergy, Gadang MRCB dan Muhibbah perlu bersaing untuk kerja ini.

"Memandangkan pelaksanaan struktur PFI dalam projek MRT3, kontraktor yang mempunyai kunci kira-kira yang sihat akan mempunyai kelebihan tambahan," katanya.

Penganalisis RHB Research, Adam Mohamed Rahim, pula berkata kos pembangunan MRT3 berjumlah RM31 bilion yang diumumkan itu adalah 31 peratus lebih rendah daripada jumlah asal RM45 bilion ketika pertama diumumkan pada 2016.

"MRT3 akan dibiayai melalui pembiayaan hibrid, yang memerlukan bon termasuk terbitan sukuk, jaminan kerajaan dan bayaran tertunda. Tidak disebut mengenai mana-mana inisiatif pembiayaan swasta, tetapi ini tidak boleh diketepikan, memandangkan pembiayaan kerajaan yang terhad.

"Justeru, kontraktor berkemungkinan menanggung beberapa risiko pembiayaan projek MRT3, sekiranya inisiatif pembiayaan swasta dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, MIDF Research dalam notanya berkata, pengumuman mengenai projek MRT3 dijangka menyebabkan peserta pembinaan sibuk untuk tempoh lapan tahun akan datang sehingga 2030 berikutan penambahan semula nilai perolehan kontrak yang kukuh selain memberikan mereka kebolehlihatan pendapatan.

Ia berkata, pengumuman itu adalah tepat pada masanya bagi sektor pembinaan yang agak lesu.

"Secara keseluruhannya, kami mengekalkan saranan 'positif' ke atas sektor pembinaan berikutan prospek yang optimis dan pemulihan ekonomi, terutama apabila projek MRT3 sedia untuk dimulakan tidak lama lagi.

"Keyakinan kami turut diperkukuhkan melalui komitmen kerajaan untuk mengkaji semula dan berpotensi melaksanakan semula projek seperti projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang akan menyaksikan Kementerian Pengangkutan terbabit dengan rakan sejawatnya di Singapura pada suku kedua 2022," katanya.

Projek MRT3 yang mengelilingi dan melengkapi jajaran perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang dijangka mempunyai 31 stesen, bermula di Bukit Kiara dan berakhir Universiti Malaya (UM).

Berita Harian X