Selasa, 15 March 2022 | 4:25pm
(Gambar fail) Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Azmin Ali. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
(Gambar fail) Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Azmin Ali. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Dasar Tenaga Negara dimuktamadkan tidak lama lagi

KUALA LUMPUR: Penggubalan Dasar Tenaga Negara dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh terdekat berikutan penelitian dasar itu ketika ini sudah berada di peringkat akhir.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata dasar itu adalah berada di bawah seliaan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, dasar itu dirangka bagi memastikan aspek berkaitan bekalan elektrik negara kelak mampu menampung keperluan pengguna kenderaan elektrik (EV) selain sektor perindustrian dan isi rumah.

"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan EPU sedang merangka dasar tenaga negara untuk memastikan bekalan yang mencukupi dan peralihan kepada EEV dan industri EV ini perlu dibuat secara berhati-hati.

"Antara langkah yang kerajaan lakukan sekarang ialah menggalakkan pengeluaran dan pemasangan EEV yang turut merangkumi elektrik dan hibrid," katanya selepas majlis pelancaran model kenderaan elektrik (EV) penuh Volvo, XC40 Recharge Pure Electric.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, dalam melaksanakan usaha bagi memastikan negara kekal di landasan ke arah kemampanan dan menjadi peneraju serantau dalam sektor mobiliti generasi akan datang, beberapa dasar dan inisiatif telah dipelopori untuk merancakkan lagi pelaburan dan ekosistem EV.

Beliau berkata, antaranya adalah insentif pemasangan atau pembuatan tempatan kereta EEV, termasuk EV, serta pembuat komponen atau OEM, di samping menggalakkan permintaan pasaran.

Kerajaan katanya juga sudah mengutarakan beberapa insentif fiskal untuk mempromosikan penggunaan dan meningkatkan permintaan EV, yang juga akan menggalakkan pelaburan dalam pembuatan kenderaan dan komponen, serta memperkembangkan infrastruktur EV.

"Kerajaan komited untuk menarik dan menggalakkan pelaburan industri EV demi merealisasikan aspirasi Malaysia dalam mencapai 15 peratus jumlah volum industri untuk EV dan hibrid menjelang tahun 2030.

"Pasukan Petugas EV antara kementerian peringkat kebangsaan yang diketuai oleh MITI telah ditubuhkan bertujuan melaksanakan langkah-langkah untuk memacu pembangunan EV dan ekosistemnya di seluruh negara," katanya.

Mohamed Azmin berkata, berdasarkan kajian, dengan pemboleh pra-syarat yang kukuh untuk penembusan EV, bahagian EV bagi jualan kereta baharu boleh mencapai 20 peratus menjelang 2030, 50 peratus menjelang 2035 dan lebih daripada 80 peratus menjelang 2040.

Beliau berkata, MITI percaya melalui pelbagai langkah dan dasar yang diperkenalkan dalam menyokong industri EV, Malaysia mampu menjadi peneraju EV di rantau ini.

Katanya, bahagian berkaitan EV seperti sektor bateri muncul sebagai bahan kritikal dalam peralihan kepada masa depan yang lebih mampan kerana peranan mereka dalam mengelektrik pengangkutan dan mengimbangi grid kuasa.

"Penggunaan bateri adalah lebih daripada peluang untuk menghapuskan pelepasan karbon dioksida kenderaan di dunia yang bergelut dengan perubahan iklim.

"Peningkatan kapasiti pengeluaran ini juga berpotensi menawarkan peluang penciptaan nilai yang signifikan untuk pengilang, menjana pekerjaan baharu secara eksponen dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia mempunyai kelebihan terutamanya dalan daya saing sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Beliau berkata, pada 2021, sektor ini merekodkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM147.8 bilion manakala dari segi produk E&E berkaitan automotif, kekuatan negara terletak pada pengeluaran semikonduktor dan bahan penting dalam pembuatan komponen EV.

Justeru itu katanya, peserta industri digesa untuk segera untuk meningkatkan penggunaan syarikat tempatan dalam aktiviti nilai tambah tinggi dalam rantaian bekalan domestik dan global.

"Secara kolektif, kita boleh mewujudkan limpahan ekonomi yang positif terutamanya dalam pemindahan teknologi dan penyediaan pekerjaan sambil mengembangkan pelaburan dan meningkatkan eksport, selaras dengan Aspirasi Pelaburan Negara," katanya.

Berita Harian X