Isnin, 14 March 2022 | 12:16pm
Pulau Pinang menyumbang 31.3 peratus daripada keseluruhan eksport negara - Foto hiasan
Pulau Pinang menyumbang 31.3 peratus daripada keseluruhan eksport negara - Foto hiasan

Pulau Pinang kekal pengeksport terbesar Malaysia

PUTRAJAYA: Pulau Pinang kekal menjadi negeri pengeksport utama negara pada Januari 2022 dengan sumbangan sebanyak 31.3 peratus daripada keseluruhan nilai eksport.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata Selangor pula berada di kedudukan kedua dengan sumbangan 19 peratus diikuti Johor (18.3 peratus), Sarawak (7.8 peratus) dan Kedah (4.1 peratus).

Beliau berkata, secara keseluruhan jumlah dagangan Malaysia pada Januari 2022 naik 24.8 peratus kepada RM203 bilion dengan nilai eksport turut melonjak 23.5 peratus kepada RM110.7 bilion, manakala import bernilai RM92.3 bilion, meningkat 26.4 peratus tahun ke tahun.

Daripada jumlah itu, katanya, eksport barangan elektrik dan elektronik masih menjadi penyumbang utama sebanyak RM44.8 bilion atau 40.4 peratus daripada jumlah eksport pada Januari 2022.

"Pulau Pinang mencatatkan eksport tertinggi bagi barangan elektrik dan elektronik bernilai RM26.2 bilion (58.5 peratus), diikuti Selangor (RM6 bilion, 13.3 peratus) dan Johor (RM4.8 bilion, 10.7 peratus).

"Secara keseluruhannya, eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM5 bilion), Johor (+RM4 bilion), Sarawak (+RM3.7 bilion), Selangor (+RM3.6 bilion), Kedah (+RM1.8 bilion), Sabah (+RM1.4 bilion), Pahang (+RM732.3 juta), Labuan (+RM713.8 juta), Terengganu (+RM511.0 juta), Kuala Lumpur (+RM278.9 juta), Kelantan (+RM66.2 juta) dan Perlis (+RM33.1 juta).

"Bagaimanapun, eksport menyusut di Perak (-RM610.2 juta), Melaka (-RM197.9 juta) dan Negeri Sembilan (-RM68.9 juta)," katanya dalam laporan statistik eksport import mengikut negeri Januari 2022 yang diterbitkan hari ini.

Mohd Uzir berkata, prestasi import mengikut negeri pula turut meningkat RM19.3 bilion atau 26.4 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan import dicatatkan di Selangor (+RM4.7 bilion), Pulau Pinang (+RM4.0 bilion), Johor (+RM3.4 bilion), Kedah (+RM2.4 bilion), Kuala Lumpur (+RM1.6 bilion), Sarawak (+RM1.2 bilion), Negeri Sembilan (+RM673.0 juta), Pahang (+RM525.5 juta), Melaka (+RM151.9 juta), Perak (+RM143.0 juta), Terengganu (+RM115.1 juta), Sabah (+RM98.2 juta) dan Perlis (+RM22.5 juta).

Namun, katanya, import menurun di Kelantan (-RM162.8 juta) dan Labuan (-RM37.9 juta).

Berita Harian X