Khamis, 10 March 2022 | 10:24am
Sektor pelancongan menyumbang sehingga 15 peratus kepada KDNK Malaysia pada 2018 - NSTP/Mikail Ong
Sektor pelancongan menyumbang sehingga 15 peratus kepada KDNK Malaysia pada 2018 - NSTP/Mikail Ong

Fasa peralihan ke endemik jadikan sasaran ekonomi lebih realistik

KUALA LUMPUR: Fasa peralihan ke endemik dan pembukaan sempadan negara yang diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadikan sasaran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun ini lebih realistik.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) boleh dicapai berdasarkan sumbangan sektor pelancongan sebelum bermula pandemik.

Beliau menjelaskan, sektor pelancongan pada 2018 menyumbang sehingga 15 peratus kepada KDNK negara ini dan angka itu tidak mustahil untuk dicapai sekali lagi tahun ini.

Sehubungan itu, katanya, pembukaan sempadan bermula pada 1 April ini menjadi kayu ukur pemulihan ekonomi negara bermula suku kedua 2022.

"Jika lihat situasi masa nyata, pembukaan sempadan antarabangsa akan membawa kemasukan kembali pelancong luar dan memberikan 'suntikan penggalak' kepada ekonomi negara.

"Malah, keseluruhan rantaian nilai sektor pelancongan akan menerima impak positif seperti industri penerbangan dan perhotelan, selain sektor peruncitan, makanan dan minuman serta industri perkhidmatan berkaitan," katanya kepada BH, semalam.

Kerajaan mengunjurkan KDNK tahun ini dalam jajaran 5.5 hingga 6.5 peratus semasa pembentangan Bajet 2022 dan unjuran sama turut diulangi Bank Negara Malaysia (BNM) awal bulan lalu.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata keputusan yang diumumkan Perdana Menteri itu adalah tepat, terutama dalam usaha memulih dan membina semula ekonomi negara yang lebih baik pasca pandemik.

Beliau berkata, pembukaan sempadan antarabangsa akan memberi lonjakan semula khususnya dalam sektor pelancongan yang selama ini menjadi penyumbang utama ekonomi.

"Bermula suku kedua ini, Malaysia dijangka dapat mewujudkan pelbagai lagi peluang baharu dalam perniagaan dan penciptaan pekerjaan, khususnya bersifat tetap dan berpendapatan tinggi.

"Pembukaan sempadan negara ini juga diharap meletakkan kembali peserta eksport tempatan, terutama dalam sektor perkilangan serta elektrik dan elektronik (E&E) dalam rantaian bekalan global untuk meningkatkan semula tahap daya saing dan tahap produktiviti," katanya sambil menambah keputusan itu akan turut meningkatkan sentimen dan tahap keyakinan pelabur.

Ahli Ekonomi Citi, Wei Zheng Kit turut menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia tahun ini akan mencapai 6.5 peratus, didorong keyakinan pembukaan semula sempadan negara bulan depan.

Beliau berkata, walaupun penularan varian Omicron menangguhkan momentum pembukaan semula, ia sama sekali tidak menjejaskan ekonomi, sama ada pada peringkat domestik atau antarabangsa.

"Meskipun berlaku lonjakan jangkitan harian sejak awal 2022, jumlah kes yang teruk turun secara mendadak dengan kadar kapasiti penggunaan unit rawatan rapi (ICU) masih rendah," katanya dalam satu kenyataan.

Perkembangan itu, katanya, sebahagiannya dicerminkan oleh liputan pelalian yang tinggi dan semakin meningkat dengan 78.7 peratus penduduk sudah menerima dua dos dan 41.2 peratus menerima suntikan penggalak setakat 15 Februari 2022.

Berita Harian X