Rabu, 2 March 2022 | 5:21pm
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada taklimat prestasi kewangan KWSP 2021 di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Aziah Azmee
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada taklimat prestasi kewangan KWSP 2021 di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Aziah Azmee

KWSP mahu manfaatkan pembukaan semula ekonomi

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan meningkatkan pelaburannya ke dalam pelbagai kelas aset domestik tahun ini dengan memanfaatkan pembukaan semula ekonomi dan perniagaan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata sebagai pelabur utama dalam pasaran kewangan Malaysia, ia akan membantu memangkin aktiviti dan pemulihan ekonomi yang berterusan.

Beliau berkata, pengurus dana persaraan itu percaya pembukaan semula ekonomi dan perniagaan, serta pelbagai inisiatif di

bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PPN) akan menyediakan landasan yang baik untuknya meningkatkan kecekapan pelaburan dan memanfaatkan peluang daripada inisiatif pemulihan.

Katanya, data dalaman KWSP menunjukkan bahawa pasaran kerja telah kembali pulih, dengan data caruman, pendaftaran ahli dan majikan aktif kesemuanya kembali ke tahap pra-pandemik pada suku keempat 2021.

"Dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa serta kadar vaksinasi antara yang terbaik di dunia, Malaysia bakal pulih semula pada 2022," katanya pada taklimat prestasi kewangan KWSP 2021 di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata, KWSP akan bekerjasama dengan rakan kongsi dan agensi lain untuk menyampaikan konsep holistik untuk manfaat ahlinya.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi keutamaan dalam memastikan ahlinya mempunyai pendapatan yang mencukupi ketika bersara, kesihatan yang lebih baik dan kehidupan yang lebih bermakna.

Katanya, KWSP juga akan memberi tumpuan dalam keselamatan pendapatan persaraan dengan mengukuhkan kecukupan iaitu meningkatkan kecukupan simpanan ahli, memperluaskan liputan dengan merangkumi pekerja tidak formal dan memberikan pengalaman terbaik kepada ahli.

Tambahnya, sasaran KWSP ialah mencapai ahli aktif bagi sektor formal 36 peratus menjelang 2025 berbanding 31 peratus pada 2021 dan memperluaskan liputan kepada 55 peratus menjelang 2025 berbanding 47 peratus pada 2021.

Ketika ini, jumlah ahli KWSP adalah seramai 15.2 juta dengan ahli aktif kembali kira-kira 7.7 juta.

Berita Harian X