Isnin, 28 Februari 2022 | 8:20pm
Kekurangan bekalan disebabkan isu tenaga kerja melonjakkan harga minyak sawit mentah
Kekurangan bekalan disebabkan isu tenaga kerja melonjakkan harga minyak sawit mentah

FGV jangka harga minyak sawit kekal tinggi

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tinggi pada paras sekitar RM4,000 hingga RM5,000 satu tan tahun ini disokong permintaan yang kukuh dipengaruhi kekurangan bekalan disebabkan isu tenaga kerja akibat COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd (FGV), Mohd Nazrul Izam Mansor, berkata krisis antara Russia dan Ukraine juga mempengaruhi harga MSM untuk menghampiri RM7,000 satu tan minggu lalu yang mana turut menyumbang kepada reaksi permintaan dan bekalan pasaran.

"Kebimbangan berhubung krisis Russia-Ukraine meningkatkan ketidaktentuan dan konflik seperti ini biasanya akan meningkatkan harga komoditi.

"Bagaimanapun, FGV dijangka tidak terjejas dengan konflik ini memandangkan kami tidak mengeksport ke negara berkenaan secara terus, malah urus niaga membabitkan pihak ketiga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman prestasi kewangan FGV bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 secara maya hari ini.

Berhubung isu kekurangan buruh, Mohd Nazrul berkata, FGV sudah mengambil pendekatan dengan menggunakan tenaga buruh tempatan bagi kerja-kerja penuaian kelapa sawit, selain menggunakan pendekatan mekanikal.

"Kami yakin isu kekurangan tenaga kerja dapat diatasi menjelang suku ketiga tahun ini.

"Kami menjangkakan hasil tuaian rendah pada suku pertama disebabkan cuaca hujan dan kita akan melihat pemulihan bekalan termasuk peningkatan paras inventori bermula suku kedua hingga ketiga tahun ini," katanya.

FGV merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) lapan kali ganda lebih tinggi kepada RM1.17 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, berbanding hanya RM146 juta yang direkodkan tahun sebelumnya.

Prestasi luar biasa yang diraih FGV itu disokong pendapatan tahunan lebih tinggi yang meningkat 39 peratus kepada RM19.57 bilion, rekod tertinggi pernah dicatatkan berbanding RM14.07 bilion pada 2020.

Keuntungan operasi FGV meningkat kepada RM1.79 bilion pada tahun kewangan 2021 berbanding RM603 juta tahun sebelumnya, didorong oleh harga MSM yang lebih kukuh dan prestasi lebih baik daripada sektor gula dan logistik.

Purata harga MSM yang direalisasikan pada tahun kewangan 2021 meningkat sebanyak 37 peratus kepada RM3,671 satu tan berbanding RM2,675 pada tahun kewangan 2020.

FGV mengumumkan pembayaran dividen akhir sebanyak 8.0 sen sesaham, dengan jumlah keseluruhan pembayaran dividen sebanyak RM291.85 juta.

Berita Harian X