Ahad, 27 Februari 2022 | 10:50am
Suruhanjaya Tenaga
Suruhanjaya Tenaga

Skim NEM lonjak penggunaan tenaga boleh baharu

KUALA LUMPUR: Pengenalan Skim Permeteran Tenaga Bersih (NEM) yang kini memasuki tahun keenam berjaya menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu di semua premis kediaman, komersial dan industri.

NEM yang dimulakan pada 2016 terus dilaksanakan pada tahun ini dengan pengenalan NEM 3.0 berkapasiti 800 megawatt yang menunjukkan kadar pengambilan melebihi 40 peratus membabitkan tiga kategori iaitu NEM Rakyat, NEM Gomen dan NEM Nova.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood, berkata kapasiti yang diperuntukkan menerusi NEM 3.0 adalah 600 megawatt untuk NEM Nova dan masing-masing 100 untuk NEM Rakyat dan NEM Gomen.

Katanya, kadar pengambilan NEM kini sangat memberangsangkan dan ia masih mempunyai banyak kuota yang boleh diambil oleh pelanggan berasaskan konsep 'siapa cepat, dia dapat'.

"Kadar pengambilan yang terkini untuk domestik menerima pelanggan sebanyak kuota 25 peratus serta baki 75 peratus dan untuk NEM Gomen bangunan-bangunan kerajaan dan agensi kerajaan sebanyak 18 peratus.

"Bagi NEM Nova berkapasiti dari 600 megawatt, ia dilanggan sebanyak 50 peratus. Program 'siapa cepat dia dapat' ini akan tamat pada 2023," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Agenda Awani bertajuk 'Pengguna Tenaga Pintar' terbitan Astro Awani baru-baru ini.

Abdul Razib berkata, menerusi NEM, pengguna boleh memasang solar panel di bumbung masing-masing dan dijana tenaga solar fotovoltaik (PV) untuk kegunaan sendiri, manakala baki selebihnya boleh dieksport ke grid di bawah seliaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk dikreditkan dalam bil bulanan.

Bagi NEM Nova pula, sasaran pengguna adalah pelanggan komersial dan industri.

"Nova adalah singkatan nama kepada 'Net Offset Virtual Aggregation', ia bermaksud ST membenarkan 'offset' lebih satu premis dalam satu akaun dan pelanggan boleh menjana maksimum satu atau lima megawatt (bergantung kepada kategori) dan boleh digunakan untuk 'offset'. Itu yang dipanggil sebagai 'aggregation' membabitkan bangunan disebabkan oleh kekangan saiz bumbung premis.

"Sehubungan itu, ST membenarkan lebih satu premis untuk berkongsi penjanaan tenaga boleh baharu di beberapa premis di bawah satu nama atau akaun. Perlu diingat bukan saja kita perlu bergantung kepada unit akses eksport kepada TNB dan selagi kilang atau premis menggunakan elektrik yang dijana sendiri, ia mungkin lebih murah daripada belian utiliti.

"Kalau kita perhatikan, 'Levelised Cost of Energy' (LCOE) lebih murah daripada yang dibeli daripada grid dan itulah penjimatan yang dihasilkan bagi setiap program NEM," katanya.

Abdul Razib berkata, ST turut melancarkan inisiatif Tarif Elektrik Hijau (GET) pada bulan Disember tahun lalu bertujuan untuk mengurangkan jejak karbon dalam penggunaan elektrik harian.

Antara faedah GET, pengguna akan dibekalkan dengan bekalan elektrik daripada sumber-sumber tenaga boleh baharu seperti daripada loji solar dan loji janakuasa hidro, selainakan diberikan sijil Malaysian Renewable Energy Certificate (MREC) berdaftar dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Untuk sijil MREC, ST mengenakan bayaran tambahan premium sebanyak 3.70 sen per kilowatt jam atau kWj walaupun dikenakan bayaran premium, tetapi pelanggan GET yang melanggan bermula 1 Januari hingga 31 Disember ini dikecualikan bayaran surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sepanjang setahun," katanya.

Beliau berkata, sijil MREC boleh digunakan oleh syarikat multinasional (MNC) yang mempunyai komitmen untuk melangkah ke arah tenaga bersih atau tenaga diperbaharui, sekali gus menguatkan lagi komitmen mereka terhadap pelanggan.

Sejak dibuka pada 1 Disember tahun lalu, GET dilanggan sebanyak 11 peratus atau sebanyak 308 pengguna dengan kebanyakannya adalah pengguna komersial, katanya.

"Kami faham tahap kesedaran masyarakat umum mengenai perubahan iklim, kesan daripada pelepasan gas rumah kaca (GHG). GET juga boleh dilanggan pelanggan domestik," katanya.

Abdul Razib berkata, semasa melancarkan NEM 1.0 dan NEM 2.0, wujud perkara berbangkit berkaitan kos permulaan atau perbelanjaan modal yang tinggi memandangkan sesetengah pihak tidak mampu untuk mengeluarkan modal yang tinggi sejumlah RM20,000 atau RM40,000.

"ST menyediakan skim khas iaitu pajakan solar. Ia seperti sewa beli, bayar secara bulanan dengan ansuran tetap dan selepas tamat pajakan, sistem solar fotovoltaik itu akan diserahkan kepada pengguna.

"Untuk industri pula, ST menyediakan perjanjian pembelian tenaga. Ia adalah bagi syarikat besar yang memerlukan jumlah tenaga solar yang besar," katanya.

Bayarannya adalah dalam bentuk pembelian tenaga, mungkin pembelian tenaga lebih murah daripada belian secara langsung daripada utiliti, ia boleh mengurangkan kos tenaga untuk syarikat komersial dan industri, katanya.

Justeru, ST menggalakkan orang ramai dan pihak industri menyertai program atau inisiatif seperti NEM dan GET kerana ia boleh memberi penjimatan dan kecekapan tenaga kepada pengguna.

-BERNAMA

Berita Harian X