Rabu, 16 Februari 2022 | 10:10am
Kenaikan harga tenaga dan lonjakan kos pengangkutan turut menyebabkan harga keluli meningkat - Foto hiasan
Kenaikan harga tenaga dan lonjakan kos pengangkutan turut menyebabkan harga keluli meningkat - Foto hiasan

Pengeluar tiada kawalan ke atas harga keluli

KUALA LUMPUR: Pengeluar bar keluli domestik tidak mempunyai kawalan ke atas harga keluli berikutan harga keluli domestik adalah tertakluk kepada bekalan global dan dinamik permintaan, demikian menurut Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) dan Persatuan Keluli Malaysia (MSA).

Pengguna bar keluli seperti kontraktor dan pemaju perumahan berupaya mengimport bar keluli pada sifar duti import tanpa memerlukan Permit Kelulusan (AP) sejak 2008.

"Kami menyambut baik libat urus daripada kementerian dan persatuan yang berkaitan untuk perbincangan selanjutnya," menurut MISIF dan MSA dalam kenyataan bersama.

Menurut kedua-dua pihak, produk keluli hanya menyumbang kira-kira tiga peratus daripada jumlah kos projek perumahan dan mereka tidak mendapat maklumat mengenai sebarang penguasaan kartel dalam industri besi dan keluli.

Mereka berkata, harga bar keluli meningkat pada separuh pertama 2021, terutama berikutan permintaan kukuh susulan pemulihan ekonomi global dan kenaikan harga bahan mentah.

Ia khususnya sekerap, bijih besi dan arang batu kok akibat bekalan yang terhad dan gangguan rantaian bekalan global.

Selain kawalan ketat oleh kerajaan China ke atas pengeluaran besi dan penamatan rebat eksport, kenaikan kos bahan mentah turut menyebabkan peningkatan harga keluli.

Malah, kenaikan harga tenaga seperti peningkatan tarif gas asli sebanyak 64 peratus pada 2021 di Malaysia dan lonjakan bagi kos pengangkutan antarabangsa turut menyebabkan kenaikan kos bahan import dan harga keluli.

"Ternyata, harga bar keluli domestik adalah lebih rendah secara konsisten berbanding harga China.

"Kami mengulangi bahawa trajektori harga keluli domestik menjejaki trend harga antarabangsa, terutama harga keluli China memandangkan negara itu menyumbang lebih separuh daripada pengeluaran keluli mentah global," menurut MISIF dan MSA.

Berita Harian X