Isnin, 14 Februari 2022 | 1:18pm
Gambar hiasan. Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur. -BERNAMA
Gambar hiasan. Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur. -BERNAMA

Pemulihan ekonomi Malaysia dijangka berterusan - IMF

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah pulih daripada kemelesetan dan pertumbuhan ekonomi dijangka berterusan selepas merekodkan peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu sebanyak 3.1 peratus, demikian mengikut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Badan kewangan antarabangsa itu berkata ia mengesyorkan sokongan fiskal tambahan jangka pendek diperlukan untuk segmen ekonomi terdedah serta terjejas teruk dan pelaburan produktif.

Katanya, sokongan itu perlu digabungkan dengan pengukuhan fiskal jangka sederhana, didukung pembaharuan belanjawan bagi membina semula penampan dan menjaga kelestarian ekonomi.

"Pendirian dasar monetari yang akomodatif adalah sesuai. Langkah sokongan sektor kewangan harus terus lebih disasarkan dan tidak terjejas apabila pemulihan semakin berakar umbi.

Dasar pembaharuan struktur yang diselaraskan dan disasarkan akan membantu menangani cabaran struktur yang telah lama wujud termasuk keperluan untuk mengukuhkan jaringan keselamatan sosial, mengehadkan parut ekonomi, dan meningkatkan daya tahan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.

IMF berkata, ekonomi Malaysia dijangka pulih secara beransur-ansur daripada kemelesetan COVID-19.

Katanya, sektor pembuatan berorientasikan eksport menyokong pertumbuhan, manakala sektor pertanian dan intensif perhubungan kekal terjejas teruk.

"Kemelesetan yang lebih teruk dapat dielakkan berkat tindak balas dasar pandemik yang pantas, besar dan pelbagai serampang yang disasarkan untuk menyokong isi rumah dan perniagaan yang terjejas.

"Pertumbuhan pada 2022 diunjurkan pada kira-kira 5.75 peratus didorong oleh permintaan dalam negeri yang terpendam dan permintaan luar yang terus kukuh. Bagaimanapun, krisis pandemik dijangka meninggalkan implikasi yang boleh berlarutan dalam jangka sederhana hingga panjang," katanya.

IMF menjelaskan, pemulihan mungkin tidak sekata, dengan output kekal jauh di bawah paras potensinya.

"Inflasi diunjurkan stabil pada kira-kira 2.5 peratus walaupun menghadapi cabaran rantaian bekalan sementara. Risiko kelemahan menyelubungi prospek pemulihan, terutamanya kemungkinan memperhebat semula pandemik dengan varian tahan vaksin.

"Dalam jangka terdekat, dasar fiskal harus terus tangkas dan semakin disasarkan, dengan tumpuan untuk terus menyokong pemulihan, meminimumkan kesan ekonomi, melindungi segmen penduduk yang terdedah dan meningkatkan pelaburan yang produktif, sejajar dengan keutamaan perbelanjaan kerajaan.

"Memandang ke hadapan, dasar monetari harus kekal bergantung kepada data. Memandangkan langkah sokongan sektor kewangan telah menjadi lebih disasarkan dan secara beransur-ansur dibatalkan bersama pemulihan ekonomi, perhatian yang rapi harus diberikan kepada risiko kestabilan kewangan," katanya.

IMF berkata, ia menyokong teras Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk meningkatkan ekonomi digital. tahap pendidikan, produktiviti, mempercepatkan reformasi tadbir urus dan anti rasuah, menggiatkan sektor pelancongan dan menerima pakai dasar perubahan iklim yang komprehensif.

Sementara itu, TA Securities dalam nota penyelidikan berkata, peningkatan ekonomi negara kepada RM1.39 trilion tahun lalu berbanding penguncupan 5.6 peratus tahun ke tahun pada 2020 disokong pemulihan permintaan dalam dan luar negara selepas penggunaan swasta dan awam bertambah baik.

"Walaupun pengeluaran perindustrian dan jumlah eksport terus menyokong pertumbuhan untuk tahun ini, kami juga meramalkan prestasi yang lebih baik pada pemacu utama kami iaitu penggunaan, pelaburan dan sektor perkhidmatan, hasil daripada kemajuan vaksinasi yang lebih baik dan sentimen yang bertambah baik," katanya.

Mengulas lanjut, firma penyelidik itu berkata, semua mata akan tertumpu pada Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) terkini, yang akan diumumkan pada akhir Mac ini dengan bank pusat itu dijangka memberikan lebih banyak pandangan tentang unjuran makroekonomi utama terbaharu.

"Unjuran semasa BNM untuk 2022 adalah antara 5.5 dan 6.5 peratus. Di samping itu, indeks peneraju (LI) baru-baru ini, yang secara amnya menjejaki aktiviti ekonomi dalam tiga hingga enam bulan akan datang, mencadangkan pemulihan ekonomi dilihat apabila LI meningkat selama tiga bulan berturut-turut.

"Tambahan pula, data terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan LI Malaysia kekal optimistik pada November 2021, meningkat kepada 111.3 mata daripada 109.4 mata pada November 2020 apabila ekonomi beransur pulih daripada gangguan COVID-19.

"Justeru, kami mengekalkan unjuran KDNK setahun penuh 2022 kepada 5.0 hingga 6.0 peratus tahun ini," katanya.

CGS-CIMB pula berkata, prestasi suku keempat 2021 yang lebih lemah dari jangkaan kepada 3.6 peratus berbanding ramalan awal 4.1 peratus tidak akan memberi kesan kepada prestasi suku pertama 2022.

Katanya, data KDNK bulanan pada Disember menunjukkan peningkatan ekonomi terganggu oleh krisis banjir di lapan negeri, namun ia tidak memberi kesan besar kepada prestasi suku pertama 2022 kerana kerugian akibat banjir boleh diimbangi oleh pembinaan semula pasca bencana serta penyambungan semula permintaan terpendam.

"Selain itu, pemberian subsidi makanan ruji dan bahan api oleh kerajaan pada seharusnya mengurangkan tekanan inflasi yang meningkat dan memastikan pertumbuhan penggunaan tidak terganggu. Bagaimanapun, satu risiko ialah peningkatan jumlah kes Omicron, walaupun ini menimbulkan sedikit kelemahan setakat ini.

"CGS-CIMB cecara keseluruhannya, mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2022 kepada 5.6 peratus dengan pertumbuhan suku pertama pada 5.1 peratus berdasarkan faktor di atas.

"Untuk dasar monetari pula, kami melihat suku keempat 2021 yang suram sebagai sementara dan tidak akan menjejaskan trajektori penggunaan swasta yang dilihat setakat ini. Kami mengekalkan jangkaan BNM akan menaikkan Kadar Dasar Semalamam (OPR) 25 mata asas sebanyak dua kali pada separuh kedua 2022," katanya.

Dalam pada itu, AllianceDBS Research berkata, pemulihan ekonomi meluas yang kekal kukuh walaupun pertumbuhan lebih perlahan pada Disember.

"Kami menjangkakan penyambungan semula aktiviti ekonomi berterusan tahun ini dan pertumbuhan ekonomi lebih kukuh pada 2022.

"Bagaimanapun, ekonomi Malaysia berdepan dengan beberapa risiko iaitu penularan kes COVID-19, penurunan penarafan pertumbuhan ekonomi global yang berterusan dan kelewatan pelaksanaan projek infrastruktur Malaysia," katanya.

Berita Harian X