Khamis, 10 Februari 2022 | 4:16pm
Gambar fail. - Bernama
Gambar fail. - Bernama

Pengeluaran getah asli Malaysia naik 36.7 peratus

KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 36.7 peratus kepada 41,690 tan pada Disember 2021 daripada 30,493 tan yang dicatatkan pada November 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbandingan tahunan pula menunjukkan pengeluaran susut 16.3 peratus daripada 49,825 tan yang direkodkan pada Disember 2020.

"Pengeluaran getah asli Malaysia pada Disember 2021 disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil pada 91 peratus manakala sektor estet sebanyak 9.0 peratus," katanya dalam kenyataan mengenai Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Disember 2021 yang dikeluarkan pada Khamis.

DOSM mengeluarkan perangkaan itu yang meliputi statistik pengeluaran, import, eksport, penggunaan domestik, stok, harga, bilangan pekerja, gaji dan upah serta produktiviti bagi estet getah.

Jumlah stok getah asli meningkat 5.9 peratus kepada 285,208 tan pada Disember 2021, daripada 269,421 tan pada November 2021, katanya.

Beliau berkata kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 91.8 peratus diikuti kilang pengguna getah dengan 8.1 peratus dan estet getah pada 0.1 peratus.

Mohd Uzir berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 45,982 tan pada Disember 2021, susut 24.5 peratus daripada 60,942 tan yang direkodkan pada November 2021.

"China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli iaitu 41.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2021 diikuti Finland (10.7 peratus), Pakistan (4.2 peratus), Turki (3.2 peratus) dan Jerman (2.5 peratus)," katanya.

Beliau berkata prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.3 bilion pada Disember 2021, turun 6.5 peratus daripada RM2.5 bilion yang dicatatkan pada November 2021, katanya.

Mohd Uzir berkata analisis kepada perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan 2.6 peratus kepada 539.45 sen sekilogram pada Disember daripada 553.64 sen sekilogram pada November 2021,

Sekerap juga turun 0.3 peratus kepada 548.07 sen sekilogram pada Disember 2021 daripada 586.10 sen sekilogram pada November, katanya.

"Keadaan yang sama turut berlaku kepada semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) yang turun 1.2 hingga 2.5 peratus," katanya.

Menurut DOSM, perubahan harga di peringkat global seperti yang dilaporkan oleh Data Harga Komoditi Bank Dunia turut menunjukkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing turun 1.3 peratus (daripada AS$1.74 sekilogram kepada AS$1.72 sekiogram) dan 0.4 peratus (daripada AS$1.93 sekilogram kepada AS$1.92 sekilogram).

Sementara itu, berdasarkan laporan Malaysian Rubber Board Digest keluaran Disember, berlaku penurunan dalam pasaran pada Disember, jelasnya.

DOSM menambah, ia disebabkan oleh kerugian dalam pasaran niaga hadapan getah serantau ekoran kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penyebaran varian Omicron COVID-19 selain kelewatan dalam pengeluaran kereta akibat kekurangan cip dan komponen peringkat global yang akan memperlahankan permintaan untuk getah.

Sementara itu, prestasi suku keempat 2021 menunjukkan pengeluaran getah asli susut 13.1 peratus kepada 115,310 tan daripada 132,732 tan pada suku ketiga 2021, jelasnya.

"Prestasi pengeluaran getah asli Malaysia pada 2021 pula mencatatkan penyusutan 8.7 peratus kepada 469,669 tan, daripada 514,702 tan yang direkodkan pada 2020," tambahnya.

– Bernama

Berita Harian X