Khamis, 10 Februari 2022 | 12:51pm
(Gambar fail) Orang ramai menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Pasar Seni untuk pergi ke tempat kerja masing-masing. - NSTP/ASWADI ALIAS.
(Gambar fail) Orang ramai menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Pasar Seni untuk pergi ke tempat kerja masing-masing. - NSTP/ASWADI ALIAS.

Jawatan kosong meningkat kepada 183,600

PUTRAJAYA: Jumlah kekosongan jawatan meningkat kepada 183,600 pada suku keempat 2021 lanjutan daripada pembukaan semula kebanyakan aktiviti ekonomi, demikian mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Daripada jumlah itu, 55.9 peratus atau 102,700 jawatan dikategori separuh mahir, manakala kategori mahir merangkumi 23.4 peratus atau 42,900.

Mengikut aktiviti ekonomi, lebih separuh kekosongan jawatan adalah di sektor pembuatan dengan 103,600 kekosongan jawatan (56.4 peratus), terutama dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal dan diikuti produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Bagi sektor pertanian, dengan peratus sumbangan 16.2 peratus atau bersamaan dengan 298,000 kekosongan jawatan, kebanyakannya adalah subsektor tanaman dan ternakan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata secara keseluruhannya 20.9 juta jawatan diwujudkan pada suku tahun dikaji, iaitu yang tertinggi direkodkan sejak suku ketiga 2020.

Bagaimanapun, katanya, dari segi perbandingan pewujudan jawatan secara tahunan, ia masih rendah berbanding direkodkan 2019 (1.04 juta) dan 2020 (7.33 juta).

"Dari segi komposisi mengikut kategori kemahiran, 64.4 peratus dalam kategori separuh mahir, diikuti jawatan kategori mahir (28.6 peratus) dan kategori berkemahiran rendah (7.0 peratus).

"Mengikut aktiviti ekonomi, sebahagian besar pewujudan jawatan adalah di sektor perkhidmatan dengan peratus sumbangan 41.9 peratus jawatan, terutama di subsektor perdagangan borong dan runcit," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal merekodkan pewujudan jawatan tertinggi di sektor pembuatan dengan 2,900 jawatan (13.6 peratus).

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan positif semua indikator guna tenaga pada suku tahun keempat 2021 memberi isyarat bahawa permintaan buruh di Malaysia menuju ke arah pemulihan.

"Selari dengan ini, bilangan penduduk bekerja juga merekodkan peningkatan 1.8 peratus tahun ke tahun seperti dilaporkan Laporan Tenaga Buruh Suku Tahunan dikeluarkan pada 8 Februari lalu.

"Menuju ke hadapan, dengan perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) menggalakkan yang seterusnya akan merancakkan lagi aktiviti perniagaan, kedudukan permintaan buruh di Malaysia dijangka lebih baik pada masa akan datang, namun tidak mengambil kira cabaran varian baharu yang lebih berbahaya," katanya.

Berita Harian X