Khamis, 10 Februari 2022 | 11:51am
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed - Foto BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed - Foto BERNAMA

TVET asas bina kemampanan ekonomi Malaysia

Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kekal menjadi keutamaan bagi Malaysia memandangkan ia adalah antara asas untuk membangunkan kemampanan ekonomi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, TVET dikenal pasti sebagai salah satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), dengan pelbagai strategi dirangka termasuk merombak tadbir urus TVET; mempromosikan TVET sebagai satu jenama; meningkatkan kualiti program TVET dan mewujudkan pangkalan data berkaitan laluan TVET serta padanan kerjaya.

Katanya, bagi memperkemas tadbir urus dan penyelarasan TVET, Majlis TVET Negara ditubuhkan pada Disember 2020 dan majlis itu bermesyuarat pada 3 Februari lalu untuk membincangkan cara memperkukuh ekosistem TVET.

Jelasnya, dalam mesyuarat itu, majlis berkenaan sudah mengesahkan, antara keputusannya untuk menubuhkan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC).

"Kami sasar untuk melahirkan graduan berkualiti tinggi yang memiliki kemahiran relevan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan dinamik industri," katanya pada Siri Webinar SDG: Pendidikan TVET Berkualiti untuk Masa Depan - Perspektif Penawaran dan Permintaan.

Siri webinar itu adalah anjuran bersama Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Jeffrey Sachs Centre on Sustainable Development (JSC)/ Sustainable Development Solutions Network (SDSN) Malaysia.

Melangkah ke hadapan, Mustapa berkata, usaha mesti ditujukan ke arah mengurangkan jurang dalam ekosistem TVET.

Justeru, beliau berkata, institusi TVET mesti sentiasa mendedahkan pelajar kepada teknologi baharu muncul.

"Dalam hubungan ini, Hab Kerjasama TVET akan berfungsi sebagai platform untuk pertukaran kepakaran dan teknologi antara institusi TVET dan industri," katanya.

Mustapa berkata, bagi mencapai sasaran kemasukan sekurang-kurangnya 55 peratus daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke program TVET seperti yang digariskan dalam RMK-12, akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan program TVET perlu ditambah baik.

Beliau berkata, pendedahan mesti diberikan kepada pelajar bermula dari usia yang sangat muda untuk memberitahu mereka mengenai faedah mengikuti pendidikan TVET serta banyak potensi laluan kerjaya.

Selain itu, katanya, sistem penarafan untuk institusi TVET akan diperkenalkan berdasarkan banyak komponen, termasuk kebolehpasaran, tahap gaji graduan, pembabitan industri dan pelaksanaan inisiatif sosial di kawasan luar bandar.

Berita Harian X