Khamis, 10 Februari 2022 | 11:05am
Aktiviti ekonomi bergerak lebih aktif sejak kebenaran merentas negeri dibenarkan - NSTP/Ghazali Kori
Aktiviti ekonomi bergerak lebih aktif sejak kebenaran merentas negeri dibenarkan - NSTP/Ghazali Kori

Ekonomi negara dijangka catat prestasi lebih baik

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang positif sekitar tiga peratus pada suku keempat 2021 selepas menguncup 4.5 peratus pada suku ketiga 2021, disokong pembukaan semula ekonomi susulan kadar vaksinasi yang tinggi dan pemulihan kukuh perdagangan, demikian kata penganalisis.

Bagi keseluruhan 2021, kebanyakan penganalisis menjangkakan prestasi yang lebih baik dengan pertumbuhan antara tiga hingga empat peratus berbanding penguncupan 5.6 peratus pada 2020, yang juga prestasi terburuk sejak krisis kewangan Asia 1997.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pihaknya menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku keempat bakal mencatatkan pertumbuhan positif iaitu 3.1 peratus.

Beliau berkata, angka seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) serta kadar pengangguran jelas menunjukkan bahawa aktiviti ekonomi bergerak lebih aktif sejak kebenaran merentas negeri dibenarkan pada Oktober lalu.

Katanya, IPI bergerak pantas pada kadar 6.9 peratus pada suku keempat 2021 berbanding penguncupan 1.1 peratus pada suku sebelumnya.

"Kadar pengangguran terus berkurangan ke paras 4.3 peratus pada Disember 2021 berbanding sekitar 4.8 peratus pada Jun dan Julai yang lalu.

"Justeru, ekonomi negara dijangka bakal berkembang pada kadar positif iaitu sekitar tiga peratus pada 2021 berbanding penguncupan 5.6 peratus pada 2020," katanya kepada BH.

Menuju ke hadapan, Mohd Afzanizam berkata, proses pemulihan akan terus bergantung kepada tahap pembukaan ekonomi, yang amat berkait rapat dengan situasi COVID-19.

Beliau berkata, buat masa ini, dos penggalak semakin rancak dilaksanakan dan kes jangkitan COVID-19 baharu pula tertumpu kepada kategori 1 dan 2.

"Kerajaan dilihat bakal membuka pintu sempadan kepada pelancong asing dalam jangka masa terdekat. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi pada 2022 dijangka lebih baik daripada 2021," katanya.

Sementara itu, Moody's Analytics dalam nota penyelidikannya menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang tiga peratus pada suku terakhir 2021, berikutan penguncupan 4.5 peratus pada suku sebelumnya.

Ia berkata, peningkatan semula kes jangkitan COVID-19 membebankan ekonomi sepanjang tahun lalu, mengakibatkan penguncupan suku tahun berturut-turut apabila isi rumah berhati-hati dalam perbelanjaan dan penangguhan pelaburan swasta.

Katanya, kelemahan dalam permintaan domestik mengatasi peningkatan kukuh perdagangan sepanjang tempoh itu.

"Namun, keadaan domestik bertambah baik pada suku terakhir. Kadar vaksinasi yang lebih tinggi dan pelonggaran sekatan dan kawalan pergerakan membuka jalan untuk pemulihan yang ketara dalam perbelanjaan runcit sejak Oktober.

"Kami menjangkakan pengukuhan berterusan dalam eksport dan peningkatan semula penggunaan swasta telah menyokong pertumbuhan suku keempat Malaysia," katanya.

Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui'zz Morhalim, berkata pertumbuhan ekonomi dilihat kembali positif pada suku keempat 2021 kerana KDNK yang bakal diumum minggu ini dijangka akan menunjukkan peningkatan sebanyak 5.6 peratus berbanding penguncupan 4.5 peratus pada suku sebelumnya.

Beliau berkata, selain aktiviti perdagangan antarabangsa yang memberangsangkan, pertumbuhan ekonomi pada suku keempat 2021 disokong khususnya oleh pemulihan perbelanjaan pengguna dan peningkatan aktiviti perniagaan berikutan pembukaan semula ekonomi.

"Pemulihan ini dapat dicapai apabila sekatan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh telah dilonggarkan berikutan kadar vaksinasi yang memberangsangkan selain tekanan ke atas sistem kesihatan awam negara yang semakin menurun. Secara umumnya, aktiviti ekonomi domestik kembali memulih mulai suku keempat 2021," katanya.

Abdul Mui'zz berkata, momentum pemulihan dijangka akan berterusan pada tahun ini dengan pertumbuhan ekonomi negara dijangka akan berkembang pada kadar +6.0enam peratus dan lebih baik berbanding pertumbuhan 3.7 peratus yang dianggarkan bagi 2021.

Beliau berkata, walaupun jumlah jangkitan COVID-19 meningkat baru-baru ini, kawalan pergerakan yang ketat seperti PKP Penuh tahun lalu boleh dielak kerana kes jangkitan COVID-19 dengan gejala yang teruk adalah sangat rendah.

"Ini menandakan program vaksinasi yang dijalankan sejak tahun lalu berkesan memperbaiki keadaan kesihatan awam di Malaysia," katanya.

Ekonomi Malaysia memulakan 2021 dengan kemerosotan KDNK yang lebih kecil iaitu sebanyak 0.5 peratus pada suku pertama 2021 berbanding penguncupan 3.4 peratus pada suku keempat 2020.

Pada suku kedua 2021, ekonomi negara berkembang kukuh sebanyak 16.1 peratus berikutan permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.

Pertumbuhan yang kukuh itu juga mencerminkan asas yang rendah berikutan kemerosotan aktiviti yang ketara pada suku kedua 2020.

Namun, penularan semula kes COVID-19 disebabkan varian Delta mengundang kerajaan melaksanakan PKP Penuh pada Jun, yang menyebabkan proses pemulihan tertangguh.

Negara terpaksa mengharungi tempoh PKP yang panjang, namun dengan pelaksanaan pantas program vaksinasi yang direncanakan di bawah Pelan Pemulihan Negara mengurangkan tekanan ke atas kapasiti sistem penjagaan kesihatan dan membolehkan langkah pembendungan dilonggarkan.

Pada suku ketiga 2021, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan negatif 4.5 peratus disebabkan kesan penutupan ekonomi yang menyebabkan perbelanjaan domestik dan aktiviti perniagaan menjadi lemah.

Berita Harian X