Selasa, 8 Februari 2022 | 1:14pm
Kadar surcaj 3.70 sen/kWj dikenakan kepada semua pengguna elektrik bukan domestik seperti komersial dan industri bermula 1 Februari lalu - Foto hiasan
Kadar surcaj 3.70 sen/kWj dikenakan kepada semua pengguna elektrik bukan domestik seperti komersial dan industri bermula 1 Februari lalu - Foto hiasan

Perniagaan berisiko 'gulung tikar' akibat kenaikan tarif elektrik

KUALA LUMPUR: Kenaikan tarif elektrik untuk pengguna komersial dan industri boleh menyebabkan banyak perniagaan 'gulung tikar', demikian tegas 11 persatuan yang mewakili pelbagai jenis perniagaan di negara ini.

Menurut 11 persatuan berkenaan dalam satu kenyataan bersama, kenaikan tarif elektrik bersama aliran peningkatan inflasi boleh menyebabkan peningkatan harga barang serta perkhidmatan yang tidak akan turun semula walaupun gangguan rantaian bekalan dapat diatasi.

Mereka secara bersama berkata bahawa pelaksanaan kadar tarif baharu secara mengejut berkuat kuasa serta-merta 1 Februari lalu membebankan perniagaan.

Kenyataan itu menegaskan, kenaikan lebih daripada 15 peratus atau sehingga 25 peratus di luar waktu puncak itu diumumkan tanpa sebarang perbincangan dengan pihak berkepentingan dan pengguna.

"Pelaksanaan secara tiba-tiba dan sangat besar ini tidak mungkin dapat diserap oleh perniagaan dan kerajaan sudah memberi amaran supaya kenaikan ini tidak disalurkan kepada pengguna.

"Kami berada pada persimpangan kritikal di mana semua perniagaan, sama ada besar atau kecil masih bergelut dalam kelangsungan perniagaan dan bangkit semula. Justeru, kenaikan ini boleh menyebabkan banyak perniagaan 'gulung tikar'," katanya.

Persatuan perniagaan terbabit adalah Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM); Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO); Industri Bersatu (IU); Persatuan Pengurus REIT Malaysia (MRMA); Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA); Persatuan Peruncit Malaysia (MRA); Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE); Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA); Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro (PPRB); Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK); dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Selain kenaikan tarif elektrik membeban perniagaan, gabungan 11 persatuan itu turut menyifatkan kadar baharu menyebabkan kenaikan kos barangan dan perkhidmatan, terutama barangan keperluan dan makanan, sekali gus mengurangkan keupayaan kuasa beli pengguna.

"Semua pengguna berada dalam keadaan kewangan yang sangat lemah dan berusaha memulihkan serta membaiki mata pencarian mereka.

"Kenaikan tarif elektrik ini juga akan memberi impak kepada pemulihan ekonomi," katanya.

Menurut kenyataan itu, mereka memahami bahawa kos bahan api meningkat khususnya disebabkan gangguan rantaian bekalan yang ditambah dengan isu perdagangan geopolitik.

"Sepatutnya, sebaik sahaja rantaian bekalan dipulihkan dan keadaan normal kembali, tekanan pasaran akan menyebabkan harga berkurangan dan persaingan akan berlaku.

"Dalam gangguan jangka pendek yang boleh diramal ini, adalah lebih bijak bagi kerajaan untuk campur tangan dan menyokong kesengsaraan sementara dan tidak membebankan kepada pengguna," katanya.

Justeru, mereka merayu agar kerajaan tidak menjadi penyebab kepada lonjakan inflasi memandangkan tanpa kenaikan tarif elektrik, tekanan inflasi sudah dirasai oleh semua.

"Kami merayu supaya kerajaan menilai semula kenaikan surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) dan sebarang perubahan perlu mengambil kira situasi tenaga yang lebih jelas," katanya.

Akhir bulan lalu, kerajaan mengumumkan pengekalan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna domestik di Semenanjung, bagi tempoh bermula 1 Februari ini hingga 31 Disember 2024.

Di bawah mekanisme ICPT yang disemak setiap enam bulan, kerajaan memutuskan supaya bagi tempoh 1 Februari hingga 30 Jun 2022, pelaksanaan pelarasan tarif elektrik adalah dengan pemberian rebat dua sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan.

Untuk itu, tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna domestik di Semenanjung.

Bagaimanapun, kadar surcaj 3.70 sen/kWj dikenakan kepada semua pengguna elektrik bukan domestik seperti komersial dan industri bermula 1 Februari lalu.

Bagi mengekalkan pemberian rebat dan tanggungan kos surcaj ICPT sepenuhnya kepada semua pengguna domestik, kerajaan memperuntuk dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos itu.

Berita Harian X