Jumaat, 4 Februari 2022 | 3:20pm
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus - Foto fail NSTP
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus - Foto fail NSTP

Ekonomi Malaysia diyakini berkembang kukuh

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sekali lagi menegaskan bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus tahun ini, disokong oleh pertumbuhan berterusan permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta lebih tinggi, kata Gabenornya, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Dalam satu temubual e-mel bersama Bernama, Nor Shamsiah berkata Malaysia dalam kedudukan yang mantap untuk meraih keuntungan apabila pertumbuhan dan perdagangan global melantun semula, seperti yang diperhatikan pada 2021.

Beliau menjelaskan bahawa, permintaan luaran kukuh bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi, khususnya daripada rakan perdagangan utama negara termasuk China, Amerika Syarikat (AS) dan ekonomi serantau, akan terus menyumbang kepada sektor berorientasikan eksport.

"Paling penting, peningkatan meluas dalam pendapatan keseluruhan, persekitaran pekerjaan dan sentimen pengguna akan memberikan dorongan kepada perbelanjaan isi rumah," katanya sambil menambah bahawa bank pusat akan mengumumkan penilaian terkini ekonomi pada Mac.

Gabenor berkata, kesinambungan projek pelaburan besar dalam sektor ekonomi utama, seperti pengeluaran E&E dan pelaburan digital, akan terus melonjakkan pertumbuhan.

Begitupun, risiko terhadap tinjauan bagi 2022 masih kekal, berpunca daripada pertumbuhan global lebih lemah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin memburuk serta kemunculan varian COVID-19 yang berbahaya dan kalis vaksin, tambahnya.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata inflasi utama berkemungkinan kekal sederhana pada 2022 apabila kesan asas daripada inflasi bahan api mulai reda, manakala inflasi teras dijangka sederhana dengan tekanan menaik dibendung oleh gangguan berterusan dalam ekonomi dan pasaran buruh.

"Secara keseluruhan, tinjauan inflasi terus menjadi subjek kepada perkembangan harga komoditi global dan risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berpanjangan," katanya.

Dalam pada itu, Nor Shamsiah berkata, bank-bank Malaysia sedang berusaha untuk mengintegrasikan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam tadbir urus, strategi perniagaan, operasi serta pengurusan risiko masing-masing.

"Ini diperkukuhkan lagi dengan langkah kawal selia seperti Perubahan Iklim dan Prinsip berasaskan Taksonomi, di samping garis panduan akan datang ke atas pengurusan risiko dan analisis senario yang diterbitkan untuk perundingan," katanya menjawab pertanyaan mengenai bencana banjir di Malaysia yang meningkatkan lagi keperluan pelaksanaan ESG.

Beliau menjelaskan bahawa, banjir baru-baru ini adalah peringatan yang kuat terhadap keperluan untuk melaksanakan agenda kelestarian dengan serius.

"Sebahagian bank sudah mula menganalisis pendedahan dalam pembiayaan dan portfolio pelaburan mereka, sebelum berbincang dengan pelanggan apabila terdapat kebimbangan mengenai ESG.

"Kami juga melihat semakin banyak bank menyokong peralihan pelanggan mereka kepada amalan lebih lestari, termasuk menawarkan penyelesaian dan nasihat," katanya.

Nor Shamsiah berkata, ia hanyalah langkah kecil dan masih banyak kerja yang perlu dilakukan.

"Namun dalam bidang ini, kami yakin bahawa industri perbankan sedang bergerak dalam laluan yang betul dan momentumnya akan terus meningkat," katanya.

Nor Shamsiah berkata, sektor kewangan sudah meningkatkan usaha untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir, bukan hanya memberikan bantuan pembayaran balik malah mengecualikan yuran dan caj untuk menggantikan dokumen bank yang hilang atau rosak.

Bantuan sedemikian memerlukan kos, tegasnya, namun ini boleh diuruskan kerana pendedahan berkaitan banjir dijangka sederhana dan industri perbankan juga secara beransur-ansur sudah membina tahap peruntukan sejak 2020 untuk menyediakan penampan impak selanjutnya daripada pandemik.

Bank pusat tidak menjangkakan lonjakan mendadak kos kredit dan ini akan membendung sebarang impak ketara terhadap perolehan bank.

"Dengan ini, saya juga mahu menekankan bahawa bank berupaya memberikan bantuan ini sambil menguruskan keuntungan dan kepentingan pendeposit, disebabkan oleh usaha selama berdekad untuk mengukuhkan tadbir urus dan pengurusan risiko dalam sektor kewangan," kata Nor Shamsiah.

-BERNAMA

Berita Harian X