Jumaat, 28 Januari 2022 | 11:57am
Emas dijangka terus mendapat sokongan daripada permintaan pengguna dan bank pusat di seluruh dunia - Foto Bloomberg
Emas dijangka terus mendapat sokongan daripada permintaan pengguna dan bank pusat di seluruh dunia - Foto Bloomberg

Jangkaan kenaikan kadar faedah jejaskan harga emas

KUALA LUMPUR: Harga emas dijangka susut dengan bank pusat Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara ekonomi utama dunia berkemungkinan besar menaikkan kadar faedah dalam tempoh terdekat ini dalam usaha membendung inflasi.

Ketua Penyelidik Global Majlis Emas Dunia (WCC), Juan Carlos Artigas, berkata untuk jangka pendek, harga emas mungkin bertindak balas terhadap kadar faedah sebenar sebelum memberikan respon ke atas dasar monetari bank pusat global yang lebih ketat serta keberkesanannya dalam mengawal inflasi.

Beliau berkata, dari aspek sejarah, pasaran ekuiti yang dinamik akan memberikan masalah kepada emas, namun peningkatan inflasi pada awal tahun ini dan kemungkinan kejatuhan semula pasaran akan mengekalkan permintaan emas sebagai aset lindung nilai.

"Namun begitu emas dijangka terus mendapat sokongan daripada permintaan pengguna dan bank pusat di seluruh dunia," katanya pada webinar Unjuran Separuh Pertama Permintaan Emas WCC.

Artigas berkata, emas berkemungkinan berdepan dengan dua cabaran utama tahun ini iaitu kadar faedah nominal lebih tinggi dan dolar AS berpotensi lebih kukuh.

"Bagaimanapun, kesan negatif daripada dua cabaran ini mungkin diimbangi oleh faktor sokongan lain termasuk inflasi yang tinggi dan berterusan serta ketidaktentuan pasaran disebabkan COVID-19, geopolitik dan lain-lain," katanya.

Dalam pada itu, Artigas berkata permintaan yang didorong pengguna untuk barang kemas dijangka kekal kukuh tahun ini, di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang secara umumnya adalah kukuh.

Beliau berkata, permintaan akan terus mengukuh jika harga emas menyusut, kerana pengguna dijangka meningkatkan pegangan logam berharga itu.

"Kami menjangkakan harga emas meneruskan momentum dinamik tahun lalu pada 2022.

"Untuk tempoh jangka pendek, harga emas mungkin bertindak balas terhadap kadar faedah sebenar sebelum memberikan respon ke atas dasar monetari bank pusat global yang lebih ketat serta keberkesanannya dalam mengawal inflasi," katanya.

Laporan Trend Permintaan Emas WCC mendedahkan permintaan tahunan pulih daripada kerugian akibat pandemik untuk mencapai 4,021 tan tahun lalu.

Permintaan emas mencecah 1,147 tan pada suku keempat tahun lalu, paras suku tahun tertinggi sejak suku kedua 2019 dan peningkatan hampir 50 peratus tahun ke tahun.

Permintaan bar emas dan syiling meningkat 31 peratus kep paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun iaitu 1,180 tan selepas pelabur runcit 'mencari tempat perlindungan selamat' berlatar belakangkan peningkatan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan disebabkan pandemik.

Dari aspek permintaan tahunan pengguna, sektor barang kemas pulih semula untuk menyamai jumlah sebelum pandemik kepada 2,124 tan disokong permintaan tinggi sejak suku kedua 2013, iaitu suku tahun di mana harga emas 25 peratus lebih rendah daripada perbandingan harga purata 2021.

Untuk tahun ke-12 berturut-turut, bank pusat menjadi pembeli bersih emas, menambah pegangan sebanyak 463 tan iaitu 82 peratus lebih tinggi berbanding 2020.

Sekumpulan bank pusat dari pasaran sedang pesat membangun dan pasaran maju menambah rizab emas, sekali gus meningkatkan jumlah global ke paras tertinggi dalam tempoh hampir 30 tahun.

Berita Harian X