Rabu, 19 Januari 2022 | 11:18am
Kerajaan digeasa memantau kenaikan harga atau menetapkan harga siling untuk bahan binaan asas -NSTP/Hairul Anuar Rahim
Kerajaan digeasa memantau kenaikan harga atau menetapkan harga siling untuk bahan binaan asas -NSTP/Hairul Anuar Rahim

Kontraktor tertekan harga bahan binaan meningkat setiap dua minggu

KUALA LUMPUR: : Harga bahan binaan kekal tinggi dan tidak menunjukkan sebarang tanda akan turun ke paras sebelum COVID-19, sekali gus membebankan kontraktor terutama yang bersaiz kecil.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF), Tukiman Radion, berkata harga bahan binaan terus meningkat meskipun tidak begitu mendadak seperti sebelumnya, malah mengalami kenaikan setiap dua minggu.

"Harga seperti besi Y16 kini berharga kira-kira RM4,700 setiap tan berbanding harga lama RM1,800 setiap tan.

"Begitu juga harga bumbung G28 yang kini mencecah lebih RM7 berbanding RM3.70 sebelum ini, manakala harga simen naik daripada RM18 menjadi RM19, selain simen jenis pracampur.

"Harga bahan kecil seperti skru dan paku turut meningkat. Sebelum ini, kami biasanya boleh mendapatkan RM1 untuk satu beg skru, tetapi kini meningkat kepada RM2.50 satu beg," katanya kepada BH.

Ketika ini, kontraktor kelas F berjumlah hampir 43,000 orang.

Tukiman berharap kerajaan dapat memantau kenaikan harga atau menetapkan harga siling untuk bahan binaan asas bagi membantu kontraktor kecil yang terbeban dengan kenaikan harga tinggi ini.

"Berbeza dengan kontraktor besar yang mungkin mampu membeli banyak, sekali gus dapat menikmati harga istimewa, kontraktor kecil hanya membeli barang diperlukan apabila ada projek dan biasanya diperoleh dalam kuantiti sedikit.

"Kami terpaksa membeli pada harga pasaran dan bukan pada harga istimewa. Jadi, kami berharap ada pihak mengambil berat perkara ini dan cuba membantu mengatasi kenaikan harga bahan binaan yang masih tidak selesai sehingga kini," katanya.

BH sebelum ini pernah melaporkan kos pembinaan sebuah rumah teres setingkat berkeluasan 304.8 meter persegi (m²) di Malaysia dikatakan meningkat antara 30 hingga 40 peratus, berbanding sebelum COVID-19, akibat peningkatan mendadak harga bahan binaan.

Lonjakan itu menjadikan kos semasa bagi pembinaan sebuah rumah berkenaan meningkat sehingga RM90,000, berbanding RM60,000 sebelum ini.

Malah, kos semasa bagi kerja pengubahsuaian sebahagian daripada keluasan rumah dikatakan turut meningkat kepada kira-kira RM25,000, bergantung jenis kemasan dikehendaki pelanggan, berbanding RM15,000 sebelum ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan, berkata kenaikan harga bahan binaan yang tidak dibendung segera boleh mengakibatkan banyak projek terbengkalai dan ditamatkan.

Katanya, kontraktor terbabit tidak mampu menanggung kerugian dan akan lari daripada meneruskan projek berkenaan, terutama apabila pelaksanaan perubahan kadar harga atau VOP oleh kerajaan tamat pada 31 Disember lalu.

"Kontraktor terus rugi, manakala projek terbengkalai dan ditamatkan. Semua pihak akan rugi, kerja swasta yang tiada VOP daripada kerajaan tentu akan rugi.

"Harga rumah bakal melambung dengan rumah mampu milik dan rumah murah kerajaan sukar dilaksanakan seperti Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) yang hanya membayar RM70,000 bagi sebuah rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi tidak dapat dilaksanakan," katanya.

Menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion diumumkan akhir Jun tahun lalu, kerajaan membenarkan VOP bagi projek kerja berikutan peningkatan ketara kos bahan binaan daripada 1 Januari hingga 31 Disember lalu.

Dengan membenarkan perubahan harga atau VOP bagi projek kerja, ia membantu pihak kontraktor akibat kenaikan mendadak harga bahan mentah kerana kenaikan bahan mentah turut memberi impak kepada masalah kewangan kontraktor.

Langkah itu juga dapat melancarkan proses permintaan dan penawaran dalam kerja pembinaan.

Berita Harian X