Selasa, 18 Januari 2022 | 3:59pm
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Ladang Herba Bersepadu Sabah antara Kementerian Pertanian dan Perikanan Negeri dengan Borneomed Sdn Bhd di sini hari ini. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Ladang Herba Bersepadu Sabah antara Kementerian Pertanian dan Perikanan Negeri dengan Borneomed Sdn Bhd di sini hari ini. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

Sabah terima pelaburan RM4.3 bilion

KOTA KINABALU: Sabah menerima pelaburan lebih RM4.3 bilion menerusi kerjasama projek pembangunan komersial berkaitan industri herba, tenaga solar dan pembinaan pusat komersial serta kediaman mewah yang dijangka dilaksanakan mulai tahun ini.

Ia membabitkan tiga projek pelaburan yang dilaksanakan secara usaha sama di antara kerajaan negeri melalui kementeriannya dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dengan syarikat pelabur tempatan serta luar negara.

Memorandum persefahaman (MoU) bagi ketiga-tiga projek pelaburan itu dimeterai hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sempena Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa Sabah (SIBES) 2022 dengan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Projek pertama membabitkan pelaburan RM350 juta bagi pembangunan Ladang Herba Bersepadu (SIHP) yang diusahakan menerusi kerjasama Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri dengan syarikat BorneoMed Sdn Bhd.

Pelaburan BorneoMed dalam projek itu merangkumi penggunaan teknologi komersial seperti bahan penanaman, teknologi penanaman berketumpatan dan hasil tinggi, sistem Internet Perkara (IOT), pendigitalan pertanian pintar, peralatan pemprosesan komersial, sistem pergudangan dan prasarana serta kemudahan lain.

Sementara itu, MoU kedua berkaitan pelaburan membangunkan kilang memproses pasir silika dan menghasilkan panel solar dengan nilai pelaburan permulaan sebanyak RM2 bilion dimeterai di antara Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah dengan pelabur dari China, SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd.

Projek pemprosesan pasir silika dan pembuatan panel solar itu yang akan dibina sama ada di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) atau Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) disasar menjana lebih 2,000 peluang pekerjaan dengan 80 peratus daipadanya dikhaskan untuk pekerja tempatan dan dijangka mula beroperasi pada 2024.

MoU ketiga pula dimeterai di antara Yayasan Sabah selaku cabang pelaburan kerajaan negeri dengan syarikat Pavilion Kota Kinabalu Sdn Bhd bagi pembangunan Pavilion Harbour City dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion.

Projek yang merangkumi pembinaan bangunan kediaman, restoran tepi laut, pasar nelayan dan hotel mewah untuk penginapan, peranginan serta aktiviti rekreasi itu meliputi kawasan laut seluas 12.14 hektar (30 ekar) bersebelahan SICC dan dijadual siap dalam tempoh 10 tahun.

Ia dijangka menjana kira-kira 1,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan, manakala 2,000 peluang pekerjaan setelah pembangunan selesai kelak.

Sementara itu, mengulas mengenai usaha sama pelaburan berkenaan, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, ia bakal menjana ekonomi Sabah dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

"Bayangkan satu projek pelaburan dapat mewujudkan 3,000 hingga 4,000 peluang pekerjaan, jadi orang kita tidak perlu lagi keluar dari Sabah untuk mencari kerja, selain memastikan aliran kewangan dan pertumbuhan ekonomi sentiasa ada di Sabah," katanya.

Berita Harian X