Selasa, 18 Januari 2022 | 12:23pm
Permintaan minyak dunia akan meningkat ke paras pra-pandemik pada 2022 - Foto Bloomberg
Permintaan minyak dunia akan meningkat ke paras pra-pandemik pada 2022 - Foto Bloomberg

Permintaan minyak dunia hampiri paras pra-pandemik

KUALA LUMPUR: Permintaan terhadap minyak dijangka ke paras sebelum COVID-19 menjelang separuh kedua 2022 dengan harga Brent berkemungkinan berlegar pada paras AS$70 hingga AS$75 setong tahun ini, demikian menurut penganalisis.

BIMB Securities Research dalam nota penyelidikannya berkata, walaupun bekalan terhad dalam pasaran minyak dijangka kekal pada suku pertama 2022, ia akan beransur pulih dengan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan Sekutu (OPEC+) menambah lebih banyak bekalan ke dalam pasaran.

Ia berkata, pemulihan bekalan itu akan turut disokong oleh bekalan tinggi minyak syal Amerika Syarikat (AS) dan negara bukan OPEC.

"Dengan kadar vaksinasi tinggi dan lebih banyak pembukaan semula sempadan antarabangsa, kami jangka permintaan minyak akan pulih ke paras sebelum COVID-19 kemungkinan menjelang separuh kedua 2022," katanya.

Dalam laporan bulanan Disember 2021, OPEC berpegang pada unjurannya bahawa permintaan minyak dunia akan meningkat ke paras pra-pandemik pada 2022, mencapai paras 100 juta tong sehari sekali lagi pada separuh kedua 2022.

Bagi tahun penuh 2022, OPEC mengunjurkan purata permintaan minyak pada paras sekitar 100.8 juta tong sehari.

BIMB Securities Research percaya OPEC akan terus mematuhi rancangan pengeluaran awalnya dan tidak memenuhi permintaan negara pengimport untuk mendapatkan lebih banyak bekalan.

"Kami fikir ia (OPEC) masih berhati-hati dengan potensi bekalan yang lebih kukuh daripada negara bukan OPEC, terutama pengeluar syal AS di tengah-tengah persekitaran harga minyak mentah yang lebih tinggi.

"Negara bukan OPEC dijangka meningkatkan pengeluaran sebanyak tiga juta tong sehari pada 2022, didorong oleh pengeluaran yang lebih kukuh dari negara terpilih termasuk AS, Russia, Brazil, Kanada, Kazakhstan, Norway dan Guyana.

"Dalam keadaan tertentu, permintaan untuk bekalan minyak OPEC dijangka berada pada purata 28.8 juta tong sehari pada 2022, iaitu hanya 1.1 juta tong sehari lebih tinggi daripada pengeluaran semasanya sebanyak 27.7 juta tong sehari (sebagaimana direkodkan pada November 2021) dan juga masih lebih rendah berbanding pengeluaran purata 2019 iaitu 30 juta tong sehari," katanya.

Berita Harian X