Isnin, 17 Januari 2022 | 4:39pm
(Gambar fail) Tapak Projek ke portal pintu masuk terowong dan Mesin Pengorek Terowong bagi penganjuran projek ECRL ke tapak pembinaan Terowong ECRL Genting di Bentong, Pahang. - NSTP/ FARIZ ISWADI ISMAIL.
(Gambar fail) Tapak Projek ke portal pintu masuk terowong dan Mesin Pengorek Terowong bagi penganjuran projek ECRL ke tapak pembinaan Terowong ECRL Genting di Bentong, Pahang. - NSTP/ FARIZ ISWADI ISMAIL.

Lebih banyak kontrak pembinaan tahun ini

KUALA LUMPUR: Jumlah kontrak pembinaan domestik dijangka bertambah secara beransur-ansur selepas Malaysia memasuki fasa endemik secara berperingkat.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Edwin Woo, berkata firma penyelidik itu menjangkakan pemulihan peluang sektor swasta dan penyambungan projek mega sedia ada akan menyokong aliran kerja pembinaan tahun ini.

"Projek sedia ada seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pan Borneo, Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) akan menyokong aliran kerja pembinaan pada 2022.

"Kami juga menantikan pelancaran projek Metro Sarawak yang membabitkan kos RM6 bilion," katanya dalam nota penyelidikan.

Woo berkata, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan kadar faedah rendah yang meningkatkan jualan hartanah tahun lalu juga mampu meningkatkan anugerah kontrak sektor swasta disokong penganugerahan tertangguh pada 2021.

Katanya, dalam aspek sektor awam, perbelanjaan pembangunan (DE) yang lebih tinggi memberi petanda yang baik untuk persekitaran tender umum walaupun tiada projek mega baharu.

"Pelaksanaan projek mega sedia ada juga harus terus memberikan peluang secara terpilih kepada kontraktor tetapi kami mengambil perhatian bahawa kebanyakan pakej di bawah projek sedia ada telah ditender, jadi kesan terhad kepada prospek pendapatan sektor," katanya.

Anugerah kontrak domestik kepada kontraktor tersenarai berjumlah RM6.3 bilion pada suku keempat tahun lalu, 54 peratus lebih tinggi suku ke suku dan 169 peratus tahun ke tahun.

Aliran positif suku terakhir 2021 dipacu oleh pemberian bernilai RM1.6 bilion daripada projek air dan solat terutamanya Skim Bekalan Air Rasau (RM896 juta) dan projek Solar Berskala Besar keempat (LSS4)/ solar bumbung (RM571 juta).

Sejumlah dua pertiga daripada pakej yang ada menerusi Skim Bekalan Air Rasau telah disalurkan pada suku keempat 2021.

"Tahun ini menyaksikan projek bekalan air yang lebih kukuh, perumahan mampu milik, solar dan jalan raya di mana projek ini dibiayai oleh sektor awam.

"Kontrak sektor swasta pula kekal mendatar selepas 2021 terus menyaksikan pelaksanaan sekatan pergerakan yang menjejaskan pelaksanaannya," tambah Woo.

Berita Harian X