Isnin, 17 Januari 2022 | 4:27pm
Pemandangan ibu kota dari Dek Pemerhatian Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Pemandangan ibu kota dari Dek Pemerhatian Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

RMK-12 tangani ketidakseimbangan sosio ekonomi

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memberi tumpuan kepada usaha menangani ketidakseimbangan sosio ekonomi dan menggalakkan pertumbuhan yang saksama antara wilayah ekonomi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata dalam Bab 6 RMK-12, iaitu Mempertingkat Keseimbangan dan Keterangkuman Wilayah, ia telah memberi penekanan khusus kepada pembangunan wilayah.

Dalam hubungan ini, katanya, usaha telah dikenal pasti untuk mempercepat pembangunan yang lebih inklusif bagi negeri dan wilayah, serta merapatkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dan bandar.

"Ini termasuk memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi wilayah, membangunkan bandar yang mampan dan mentransformasi kawasan luar bandar bagi merapatkan jurang pembangunan.," katanya ketika merasmikan siri webinar RMK-12 : Peranan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Koridor Dalam Pembangunan Wilayah dan Negara hari ini.

Turut serta, Profesor Ulung di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Rajah Rasiah; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik; Ketua EksekutifPihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Datuk Seri Panglima Hashim Paijan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat.

Jurang pembangunan antara wilayah pembangunan ekonomi terus melebar dengan Wilayah Tengah menyumbang sebanyak 46.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Nasional.

Dalam tempoh RMK-11, KDNK Wilayah Tengah berkembang sebanyak 3.7 peratus

setahun, melebihi purata nasional 2.7 peratus setahun manakala Wilayah Timur pula berkembang sebanyak 2.3% setahun.

Wilayah Tengah juga mencatat KDNK per kapita tertinggi sebanyak RM63,028 pada tahun 2020 iaitu 2.5 kali lebih tinggi berbanding Wilayah Timur sebanyak RM25,070.

Mustapa berkata, RMK-12 juga telah memperkenalkan Pemacu Perubahan 7 iaitu Menggandakan Pertumbuhan Negeri Kurang Membangun terutama Sabah dan Sarawak bagi Merapatkan Jurang Pembangunan.

Katanya, antara inisiatif yang dikenal pasti termasuklah agihan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan kepada enam negeri kurang membangun iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Beberapa isu dan cabaran yang masih memberi kesan kepada pertumbuhan wilayah dan negeri adalah termasuk tumpuan berlebihan kepada aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah yang rendah; insiden kemiskinan yang masih tinggi; ekosistem sokongan yang tidak mencukupi; penerimagunaan teknologi yang rendah; dan liputan telekomunikasi serta jalur lebar yang masih kurang.

"Justeru, beberapa strategi utama telah dikenal pasti untuk mempertingkat keseimbangan dan keterangkuman wilayah iaitu menarik pelaburan berkualiti; menambah baik ekosistem perniagaan; mempercepat penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan; mempelbagai dan merancakkan aktiviti ekonomi.

"Selain itu, strategi dikenal pasti iaitu mempelbagai dan merancakkan aktiviti ekonomi bagi meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar dan mengurangkan insiden kemiskinan; serta mempertingkat pembangunan koridor ekonomi wilayah bagi mempercepat pembangunan sosio ekonomi dan mengurangkan ketidakseimbangan antara wilayah dan negeri," katanya.

Beliau menjelaskan, bagi mewujudkan sinergi pembangunan yang bersepadu dan menangani keperluan pembangunan wilayah secara menyeluruh, pembangunan di lima koridor ekonomi wilayah akan terus diberi perhatian.

"Peranan Pihak Berkuasa Koridor akan dilibatkan dalam mempercepat pembangunan strategik di wilayah untuk mencapai pembangunan wilayah yang lebih seimbang dan inklusif.

Tumpuan akan diberi kepada pelaksanaan projek yang berimpak tinggi untuk menarik pelaburan berkualiti di wilayah.

"Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan yang akan mengurangkan jurang sosio ekonomi rentas wilayah dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat," katanya.

Mustapa berkata, dalam memastikan kejayaan pelaksanaan strategi RMK-12, peranan semua kerajaan negeri dan pihak berkuasa koridor amat penting.

"Kerjasama erat yang berterusan dengan Kerajaan Persekutuan akan menyumbang kepada usaha pembangunan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat," katanya.

Berita Harian X