Isnin, 17 Januari 2022 | 4:17pm
(Gambar fail) Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
(Gambar fail) Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

NAICO pacu ekosistem aeroangkasa negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan penubuhan National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia) sebagai agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memacu pembangunan ekosistem industri aeroangkasa di negara ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kelulusan itu juga diberikan sejajar dengan pertumbuhan industri aeroangkasa yang mencatatkan pendapatan tinggi RM16.2 bilion pada 2019 dan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada lebih 10,000 pekerja tempatan.

Beliau berkata, NAICO Malaysia diberi mandat sebagai agensi pembangunan aeroangkasa negara untuk memacu pembangunan ekosistem industri dan untuk memastikan kesepaduan dan penyelarasan inisiatif dilaksanakan di bawah Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB 2030) dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Katanya, industri aeroangkasa telah dikenal pasti sebagai salah satu industri yang strategik dan memberi impak besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Jelasnya, ia selaras dengan aspirasi digariskan di bawah MAIB 2030 dan Rangka Kerja Industri Aeroangkasa RMK12 yang diterajui MITI yang memfokuskan kepada teknologi digital aeroangkasa, Industri 4.0, ekosistem dan pembangunan modal insan.

"MAIB 2030 yang dilaksanakan melalui tiga Rancangan Malaysia, bercita-cita untuk meletakkan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau dan sebahagian daripada rantaian bekalan aeroangkasa global.

"RM600 juta telah diperuntukkan di bawah RMK12 untuk transformasi industri supaya lebih berdaya saing di peringkat global sambil mempercepatkan pemulihan rantaian bekalan tempatan pasca pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia telah memuji keputusan kerajaan itu, satu komitmen oleh kerajaan terhadap industri, sebagai berpandangan ke hadapan dan kunci kepada kesinambungan pertumbuhan dan kemampanan.

Beliau berkata, selain menjadi Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Negara (COE) untuk menyokong pembangunan ekosistem selaras dengan keperluan industri serta membangunkan kepakaran tempatan, NAICO Malaysia akan meningkatkan pembangunan teknologi dan kejuruteraan serta membangunkan kapasiti industri dalam penyelidikan dan inovasi.

Katanya, teknologi maju dan keupayaan kejuruteraan ketepatan industri aeroangkasa akan berfungsi sebagai pemacu strategik di samping melengkapkan industri berkaitan seperti elektrik dan elektronik serta sektor automotif dalam negara.

Jelasnya, pangkalan data industri aeroangkasa Malaysia yang komprehensif akan menyokong strategi pembangunan industri NAICO Malaysia.

Tambahnya, NAICO Malaysia akan memanfaatkan pengetahuan rantaian bekalan, pengetahuan teknikal dan pengalaman industri ahli terkemuka yang akan berkhidmat dalam Lembaga Pemegang Amanah.

"Kerjasama dan perkongsian dengan agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan ditingkatkan untuk meningkatkan pelaburan aeroangkasa yang strategik dan berkualiti untuk membantu integrasi serantau dan global rantaian bekalan tempatan, yang mana peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya PKS Bumiputera.

"Aeroangkasa adalah salah satu daripada tiga bidang tumpuan Transformasi Ekonomi Bumiputera di bawah Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi," katanya.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia adalah rumah kepada pelabur aeroangkasa asing yang terkenal termasuk Airbus, Spirit Aerosystems, GE Engines Services, Honeywell Aerospace Avionics, GKN Aerospace, Safran Landing Systems dan Aerospace Composites Malaysia.

Beliau berkata, syarikat berkenaan juga mendapat khidmat penyedia rantaian bekalan aeroangkasa tempatan seperti CTRM AeroComposites, SME Aerospace dan UMW Aerospace.

Katanya, MITI akan terus menyokong dasar berpandangan ke depan, inklusif dan mesra perniagaan bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk industri berimpak tinggi, teknologi canggih dan kejuruteraan ketepatan.

"Justeru, Memorandum Kerjasama Industri Pesawat akan ditandatangani antara Malaysia dan Jepun untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara industri aeroangkasa kedua-dua negara dalam pembuatan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat, penyelidikan teknologi dan pembangunan modal insan.

"Dengan pelaksanaan strategi pembangunan perindustrian bersepadu dan diselaraskan, industri aeroangkasa Malaysia akan bersedia untuk menyumbang pendapatan tahunan sebanyak RM30 bilion dan mewujudkan 30,000 pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2025," katanya.

Berita Harian X