Isnin, 17 Januari 2022 | 1:53pm
(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Bernama
(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Bernama

HIES/BA 2022 bantu rancang keberkesanan pelan pembangunan

SEPANG: Kerajaan melancarkan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bagi mendapatkan data lengkap bagi merancang dan memantau keberkesanan pelaksanaan rancangan pembangunan negara.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata menerusi HIES/BA 2022 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan melaksanakan temuramah secara bersemuka ke atas 92,800 isi rumah terpilih meliputi lebih 500,000 penduduk di seluruh negara.

Katanya, objektif kajian itu adalah untuk mengkaji dan menyediakan maklumat pola pendapatan dan perbelanjaan isi rumah dan menyediakan statistik kemiskinan terutamanya kadar kemiskinan sehingga ke peringkat daerah pentadbiran.

"Ia juga dapat digunakan untuk mengenal pasti capaian kemudahan asas yang dinikmati oleh isi rumah; dan membantu kerajaan merancang dan memantau keberkesanan pelaksanaan rancangan pembangunan negara khususnya bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya ketika melancarkan HIES/BA 2022 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, HIES/BA 2022 membabitkan survei yang meliputi semua negeri dan semua 160 daerah pentadbiran di Malaysia, bagi membolehkan semua maklumat sama ada berkaitan dengan pendapatan atau perbelanjaan boleh dianalisis sehingga ke domain yang lebih kecil.

"Survei ini amat penting dan memberi banyak manfaat yang boleh dirasai oleh rakyat secara langsung dan tidak langsung.

"Maklumat pendapatan isi rumah yang dikumpul digunakan untuk mengkaji pola dan struktur pendapatan isi rumah, mengukur jurang ketaksamarataan pendapatan, mengukur kadar kemiskinan negara; menyediakan maklumat kemudahan asas yang dapat digunakan bagi penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas di pelbagai lokasi.

"Maklumat pola perbelanjaan pula digunakan sebagai asas untuk mengenal pasti gelagat pengguna melalui corak perbelanjaan isi rumah dan menjadi asas pengukuran inflasi dan kos sara hidup," katanya.

Beliau berkata, di samping kaedah temu ramah bersemuka, responden terpilih boleh juga membuat pengisian borang soal selidik secara self-response secara atas talian.

"Kerahsian maklumat yang dibekalkan oleh responden dalam survei yang dijalankan ini adalah terjamin mengikut peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak – 1989).

"Survei ini akan memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya kerajaan dalam menganalisis agihan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah mengikut domain yang lebih terperinci," katanya.

Bermula daripada Rancangan Malaysia yang Kedua sehingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), dapatan HIES/BA telah digunakan secara menyeluruh dalam penggubalan dasar dan program pembasmian kemiskinan serta polisi yang berkaitan dengan kesamarataan pendapatan isi rumah.

Berikutan krisis kesihatan dan ekonomi yang berlaku dalam negara kita, dapatan survei HIES/BA 2022 akan menjadi tanda aras baharu bagi kerajaan menggubal polisi dan dasar yang berkaitan untuk kesejahteraan rakyat.

Selain itu, dapatan itu juga menjadi salah satu input yang akan digunakan oleh kerajaan untuk menilai pencapaian RMK-12, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs) yang menekankan pembangunan negara secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Dalam pada itu, susulan dari perkembangan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, Mustapa berkata, data muktamad Banci Malaysia 2020 akan dikeluarkan dalam bentuk laporan secara berperingkat bermula dari Februari 2022 sehingga 2024.

"Penerbitan pertama iaitu Penemuan Awalan Banci Malaysia 2020 akan diterbitkan pada Februari 2022. Seterusnya, dijangka lebih daripada 1,000 laporan Banci Malaysia 2020 merangkumi 16 negeri, 160 daerah, 222 parlimen dan 600 Dewan Undangan Negeri akan diterbitkan secara berperingkat," katanya.

Berita Harian X