Isnin, 17 Januari 2022 | 9:57am
Peralihan ke fasa endemik yang terlalu awal berkemungkinan mewujudkan gelombang baharu jangkitan pandemik di masa hadapan - NSTP/Danial Saad
Peralihan ke fasa endemik yang terlalu awal berkemungkinan mewujudkan gelombang baharu jangkitan pandemik di masa hadapan - NSTP/Danial Saad

Tangguh fasa endemik tindakan tepat pulih ekonomi

Penangguhan sementara peralihan ke fasa endemik adalah langkah tepat kepada ekonomi yang masih memerlukan penyesuaian dengan norma baharu.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata fasa endemik memerlukan perubahan dalam norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.

Beliau berkata, peralihan ke fasa endemik tidak perlu dilaksanakan secara terburu-buru kerana dikhuatiri kebarangkalian keadaan jangkitan akan menjadi tidak terkawal, sekali gus memungkinkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat terpaksa dilaksanakan semula.

"Pada ketika ini sebenarnya ekonomi dilihat pada fasa pemulihan dengan semua negeri sudah berada pada fasa keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN). Keyakinan pelabur juga bertambah secara beransur-ansur.

"Namun, keadaan akan menjadi sebaliknya jika PKP dilaksanakan semula kerana peralihan ke fasa endemik yang terlalu awal berkemungkinan mewujudkan gelombang baharu jangkitan pandemik di masa hadapan.

"Bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi, kerajaan perlu memastikan strategi, langkah dan inisiatif jangka pendek diteruskan.

"Pada masa yang sama, memperkenalkan dasar serta program berbentuk jangka masa panjang," katanya kepada BH.

Irwan Shah berkata, antara program yang berbentuk jangka masa panjang yang boleh dilaksanakan kerajaan adalah melaksanakan semula Pelan Induk Perindustrian (PIP).

Beliau berkata, PIP yang mula diperkenalkan sejak 1980-an memberikan hala tuju dan kerangka yang jelas kepada sektor industri negara.

Sehingga 2020, katanya, negara sudah mempunyai tiga PIP, namun sejak tahun lalu hingga kini masih tiada pelan induk perindustrian yang baharu.

"PIP memberikan fokus kepada perkara yang begitu penting dalam usaha pemulihan ekonomi negara, terutama kepada sektor perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) serta pelaburan langsung asing (FDI).

" Ia juga dapat memberi keyakinan kepada pelabur dan sentimen positif kepada ekosistem perniagaan dan juga pengguna secara keseluruhannya.

"Apa yang lebih penting lagi bagaimana PIP dapat menjadi satu daripada instrumen utama mentransformasi ekonomi Malaysia jadi negara berpendapatan tinggi dan ekonomi neutral karbon pada masa hadapan," katanya.

Pandangan itu turut dipersetujui oleh penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari yang menyatakan penangguhan endemik tidak memberi kesan yang signifikan, terutama dari segi keyakinan pelabur.

Beliau berkata, fasa endemik sebenarnya bagi mengukuhkan lagi pemulihan dengan memastikan faktor kesihatan menyokong aktiviti ekonomi kerana rakyat sebenarnya perlu hidup bersama virus.

Katanya, ekonomi Malaysia semakin pulih ditambah dengan kenyataan bahawa tiada lagi tindakan PKP akan dilaksanakan.

Sehubungan itu, tegasnya terdapat tiga perkara yang perlu diberi keutamaan bagi memastikan momentum peningkatan berterusan

"Pertama, kerajaan perlu memastikan sektor ekonomi terus dibuka bagi memastikan pemulihan berlaku tanpa gangguan.

"Kerajaan perlu memastikan tiada kejutan penawaran atau gangguan bekalan yang boleh mempengaruhi momentum pertumbuhan.

"Kedua, usaha menarik pelaburan dan pembangunan industri-industri strategik perlu berjalan serentak. Kita tidak perlu menunggu sehingga ekonomi kembali ke landasan asal (sebelum pandemik) untuk meningkatkan pelaburan dalam industri strategik.

"Ketiga, pembukaan sempadan negara perlu bagi memastikan pemulihan sektor pelancongan dan ekonomi negara secara keseluruhannya.

"Bagi sebuah negara kecil dan terbuka, Malaysia memerlukan kedatangan pelawat dan pelancong asing untuk meningkatkan perbelanjaan dalam negara dan membantu tukaran mata asing," katanya.

Mengulas lanjut, Yusof berkata, pasaran buruh turut menunjukkan pemulihan yang positif apabila pembukaan ekonomi mewujudkan kembali peluang pekerjaan, seterusnya mengurangkan bilangan pengangguran.

Berita Harian X