Ahad, 16 Januari 2022 | 1:15pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melawat Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) sempena Jelajah Bajet 2022 di Kelantan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melawat Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) sempena Jelajah Bajet 2022 di Kelantan.

Insentif cukai lonjak pertumbuhan Tok Bali

TOK BALI: Tok Bali berpotensi menjadi pusat pertumbuhan baharu di Kelantan berdasarkan pengumuman insentif cukai khas oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata menyedari cabaran yang dihadapi oleh Kelantan, kerajaan yakin bahawa insentif cukai khas yang dilaksanakan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan merancakkan transformasi ekonomi negeri itu.

"Pada masa yang sama, projek pembangunan infrastruktur dan kesalinghubungan di kawasan berhampiran seperti Jalan Central Spine dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga dapat meningkatkan tarikan pelaburan terutama ke kawasan Tok Bali," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan ke Tok Bali sempena Jelajah Bajet 2022 di Kelantan.

Menerusi insentif cukai khas itu, pelabur akan dapat menikmati pelbagai keistimewaan seperti pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus selama 15 tahun dan cukai pendapatan pada kadar istimewa 17 peratus untuk lima tahun berikutnya.

Sebagai insentif tambahan, individu pemastautin bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan bagi syarikat yang diluluskan insentif hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15 peratus untuk meningkatkan daya saing Kelantan sebagai destinasi pelaburan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, berkata Tok Bali disasar menjadi pusat pertumbuhan baharu di Kelantan menerusi insentif cukai khas serta projek berimpak tinggi seperti Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan infrastruktur luaran bagi Pelabuhan Tok Bali yang sedang dilaksanakan.

Beliau berkata, ECERDC yakin usaha yang sedang dan akan dilaksanakan itu dapat menyumbang ke arah mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM2.3 bilion.

Pelaburan ini, katanya dijangka dapat menjana 4,200 peluang pekerjaan baharu dan 270 peluang keusahawanan untuk penduduk tempatan.

"Pembangunan kawasan Tok Bali akan memberi tumpuan terhadap lima sektor utama iaitu pembuatan, perikanan, minyak dan gas, logistik dan perkhidmatan serta eko pelancongan.

"Ia adalah bagi mempelbagaikan ekonomi di kawasan ini dan meningkatkan daya saing Tok Bali sebagai destinasi pelaburan.

"Langkah ini seterusnya akan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta membuka peluang keusahawanan," katanya.

Berita Harian X