Ahad, 16 Januari 2022 | 12:24pm
Skim Saraan Bercagar (SSB) mampu menawarkan bayaran bulanan yang lebih tinggi kepada pesara - Foto hiasan
Skim Saraan Bercagar (SSB) mampu menawarkan bayaran bulanan yang lebih tinggi kepada pesara - Foto hiasan

Permohonan Skim Saraan Bercagar dibuka esok

KUALA LUMPUR: Skim Saraan Bercagar (SSB) Cagamas Bhd, pinjaman gadai janji terbalik untuk pemilik rumah yang sudah bersara dibuka untuk permohonan daripada pemilik rumah yang layak di Lembah Klang mulai esok.

Cagamas berkata, SSB adalah skim membantu pemilik rumah dalam golongan warga emas membiayai persaraan mereka.

"Skim ini membolehkan pesara berumur 55 tahun ke atas, meminjam berbanding nilai rumah mereka yang dibayar penuh dan menukarnya kepada pembayaran tunai bulanan yang tetap sepanjang hayat mereka untuk menambah dana persaraan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Pinjaman SSB akan ditawarkan pada pembiayaan kadar tetap sebanyak lima peratus setahun ke atas jumlah pinjaman tertunggak dan yuran pengecualian rekursa pendahuluan secara sekali sebanyak 1.75 peratus terhadap nilai hartanah awal.

Di bawah tawaran kadar tetap, skim itu mampu menawarkan bayaran bulanan yang lebih tinggi kepada pesara kerana ia mampu bertahan kepada turun naik kadar faedah sepanjang tempoh pinjaman SSB keseluruhan.

Mengenai faedah lain, Cagamas berkata pembayaran bayaran bulanan adalah komitmen seumur hidup, tertakluk kepada terma dan syarat.

"Tiada pembayaran balik diperlukan bagi sepanjang hayat peminjam. Pembayaran balik hanya perlu dibayar apabila peminjam meninggal dunia atau peminjam bersama yang masih hidup," katanya.

Pemohon yang berminat boleh menetapkan tarikh janji temu untuk SSB di salah satu daripada dua cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya melalui https://www.kwsp.gov.my/ms/janjitemu.

Untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai ciri-cirinya, kriteria kelayakan dan proses permohonan termasuk pengiraan untuk pembayaran indikatif bulanan, pemohon boleh melayari laman web SSB di www.ssb.cagamas.com.my.

Pertanyaan mengenai SSB juga boleh dilakukan dengan menghantar e-mel kepada ssb@cagamas.com.my.

Berita Harian X