Ahad, 16 Januari 2022 | 11:51am
Mangsa banjir yang terjejas menerima agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) serta Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Azalea Taman Sri Muda, Shah Alam - NSTP/Faiz Anuar
Mangsa banjir yang terjejas menerima agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) serta Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Azalea Taman Sri Muda, Shah Alam - NSTP/Faiz Anuar

Kerajaan perlu dana tambahan baik pulih banjir

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka melaksanakan perbelanjaan fiskal tambahan untuk menampung kos membina semula infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir baru-baru ini, demikian menurut Macquarie Equities Research (MQ Research).

Firma penyelidikan pasaran itu berkata, lebih banyak perbelanjaan diperlukan untuk bantuan banjir walaupun sehingga kini kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion bagi membantu isi rumah dan individu yang terjejas akibat bencana itu.

"Kami berpendapat pakej bantuan banjir RM1.4 bilion oleh kerajaan baru-baru ini mungkin tidak mencukupi untuk menyokong isi rumah yang terjejas. Kami juga menjangkakan perbelanjaan fiskal tambahan diperlukan kerana banjir akan menyebabkan inflasi selanjutnya.

"Ini kerana, pandemik COVID-19 yang melanda sejak dua tahun lalu mengurangkan pendapatan dan memberi impak kepada simpanan, justeru isi rumah mempunyai daya tahan yang jauh lebih rendah terhadap kesan kewangan banjir," katanya dalam satu nota.

MQ Research berkata, laporan yang dikeluarkan baru-baru ini menganggarkan sekitar 70,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat banjir membabitkan 210 lokasi di enam negeri berbanding hanya 200,000 orang yang dilaporkan kehilangan tempat tinggal akibat banjir pada 2014 dan 2015.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) turut menganggarkan jumlah tuntutan akibat banjir kali ini sekitar RM2 hingga RM3 bilion.

Namun, MQ Research menganggarkan jumlah kerosakan adalah lebih tinggi antara RM10 bilion hingga RM15 bilion.

Unjuran ini, katanya adalah berdasarkan andaian daripada AIG Malaysia bahawa 80 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak diinsuranskan untuk banjir.

Manakala, Zurich Malaysia menyatakan bahawa 59 peratus daripada pemilik kenderaan tidak mempunyai insurans banjir dan 74 peratus pemilik rumah juga tidak mempunyai perlindungan banjir.

"Banjir juga berkemungkinan akan memburukkan lagi inflasi, satu isu yang semakin mendesak. Kerosakan kepada industri pertanian dan penternakan serta infrastruktur memberi kesan kepada inflasi makanan yang tinggi.

"Kerajaan kini campur tangan dalam harga makanan dengan menawarkan barangan keperluan harian pada diskaun 20 peratus daripada harga pasaran.

Selain itu, kerja pembinaan semula selepas banjir akan meningkatkan permintaan untuk bahan mentah dan buruh, kemungkinan meningkatkan inflasi berkaitan pembinaan," katanya.

Bagi menangani situasi ini, MQ Research berpendapat bahawa kerajaan mungkin mengenakan cukai korporat tambahan untuk meningkatkan hasil cukai.

Tekanan untuk kerajaan meningkatkan hasil cukai hanya meningkat disebabkan banjir, dengan keperluan untuk membiayai bantuan dan memerangi inflasi.

"Kami berpendapat, syarikat korporat besar berisiko berdepan cukai tambahan atau berkemungkinan perlu membantu kerajaan dalam langkah bantuan banjir.

"Dari sudut politik pula, situasi yang berlaku ini akan menyebabkan pilihan raya umum mungkin ditangguhkan ke 2023," katanya.

Berita Harian X