Jumaat, 14 Januari 2022 | 3:05pm
Gambar fail. - BERNAMA
Gambar fail. - BERNAMA

Banjir: Tiada kesan ketara sektor ladang

KUALA LUMPUR: Bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini dijangka tidak memberi impak ketara kepada sektor perladangan negara, demikian menurut firma penyelidik.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Hoe Lee Leng, berkata berdasarkan semakan dengan syarikat perladangan, bencana antara yang terburuk itu tidak memberi kesan ketara dari aspek pengeluaran dengan gangguan penuaian berlarutan selama seminggu di sesetengah ladang di Semenanjung Malaysia.

"Harga minyak sawit mentah (MSM) bagaimanapun menunjukkan tidak balas positif dengan mencatat kenaikan 13 peratus pada tiga minggu lalu," katanya dalam nota penyelidikan.

Lee Leng berkata, harga kacang soya juga bertambah kira-kira 11 peratus tiga minggu lalu akibat kebimbangan faktor cuaca, menyaksikan MSM CPO kembali didagang pada AS$14 satu tan, iaitu lebih rendah berbanding minyak kacang soya daripada premium AS$13 satu tan bulan lalu.

"Risiko cuaca kekal menjadi faktor tidak menentu bagi pengeluaran, terutamanya dengan fenomena La Nina masih berlaku," katanya.

Beliau menjelaskan, pengeluaran MSM Malaysia susut 11.3 peratus bulan ke bulan pada Disember, manakala stok berkurang 12.9 peratus kepada 1.58 juta tan, dengan kemungkinan disebabkan oleh bencana banjir baru-baru ini.

"Kami terus menjangkakan asas bekalan pada tahun ini akan bertambah baik, dengan penurunan harga MSM berlaku pada separuh kedua tahun ini, manakala penilaian akan kekal terjejas oleh risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang, berkata ia menjangkakan stok minyak sawit menurun sebanyak 4.5 peratus bulan ke bulan kepada 1.51 juta tan menjelang akhir Januari dengan pengeluaran dan eksport masing-masing susut 12.5 peratus dan 20 peratus bulan ke bulan.

"Memandangkan bekalan minyak makan global jangka pendek yang ketat dan isu kekurangan buruh yang tidak dapat diselesaikan dalam industri minyak sawit di Malaysia, kami meramalkan harga MSM kekal kukuh pada RM4,500 hingga RM5,500 satu tan pada Januari 2022.

"Kami mengekalkan ramalan harga MSM kami sebanyak RM3,600/RM3,240 setiap tan untuk tahun ini dan 2023. Kami berpandangan bahawa harga MSM mampu kekal tinggi sehingga suku pertama 2022 sebelum menjadi lebih rendah apabila bekalan minyak sawit pulih dan aktiviti penghancuran biji minyak bertambah baik.

"Harga MSM yang kukuh dan jangkaan pulangan beransur-ansur pekerja asing adalah positif. Bagaimanapun, ini diimbangi oleh kebimbangan mengenai kenaikan kos baja dan fenomena La Nina pada 2022," katanya.

Berita Harian X