Rabu, 12 Januari 2022 | 3:47pm
Harga emas mencatat paras tertinggi mingguan semalam - Foto hiasan
Harga emas mencatat paras tertinggi mingguan semalam - Foto hiasan

Harga emas susut menunggu data inflasi dari AS

BENGALURU: Harga emas susut apabila peniaga memerhati dengan teliti data inflasi Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan petunjuk kadar faedah selepas kenyataan daripada Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) menyemarakkan rali logam berharga itu pada sesi sebelumnya.

Emas spot turun 0.2 peratus pada AS$1,818.19 seauns hari ini, susut daripada paras tertinggi seminggu pada hari Selasa.

Niaga hadapan emas AS tidak berubah pada AS$1,818.70.

"Sesi pendengaran Pengerusi Fed (Jerome) Powell tidak membawa apa-apa retorik tambahan melebihi apa yang sudah diketahui oleh pasaran," kata pakar strategi mata wang DailyFX, Ilya Spivak.

Beliau menambah bahawa emas berada dalam situasi konsolidasi selepas meningkat lebih daripada satu peratus semalam.

Powell berkata, bank pusat itu berazam untuk membendung inflasi dan tidak sesekali mahu mengurangkan pertumbuhan pekerjaan, peralihan kepada dasar kadar faedah yang lebih tinggi dan pengurangan pegangan aset adalah perlu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kekal dalam landasan.

Penanda aras hasil 10 tahun susut manakala dolar AS merosot ke tahap paling lemah sejak November susulan penerangan Powell.

Emas dianggap sebagai lindung nilai terhadap inflasi yang lebih tinggi, tetapi logam itu sangat sensitif terhadap kenaikan kadar faedah AS yang meningkatkan kos peluang untuk memegang komoditi itu.

"Dalam laporan senarai gaji yang kita lihat pada Jumaat lalu, inflasi adalah lebih tinggi daripada jangkaan. Jika ini berterusan ke dalam angka Indeks Harga Pengguna (IHP) ... saya menjangkakan emas akan turun di sebalik spekulasi bahawa Fed akhirnya akan menjadi lebih agresif berbanding sekarang," kata Spivak.

Data inflasi AS yang bakal dikeluarkan lewat hari ini, dijangka menyaksikan IHP teras, yang tidak termasuk harga makanan dan tenaga, meningkat sebanyak 5.4 peratus , tertinggi dalam tempoh beberapa dekad dan meningkat daripada 4.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Perak spot susut 0.1 peratus kepada AS$22.74 seauns, platinum jatuh 0.4 peratus kepada AS$966.75 dan paladium turun 0.1 peratus kepada AS$1,918.97.

-Reuters

Berita Harian X