Rabu, 12 Januari 2022 | 11:19am
Perbelanjaan benar isi rumah akan menjadi 1.8 peratus lebih tinggi tahun ini - Foto BERNAMA
Perbelanjaan benar isi rumah akan menjadi 1.8 peratus lebih tinggi tahun ini - Foto BERNAMA

Pemulihan ekonomi lonjak perbelanjaan pengguna

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan pengguna di Malaysia akan mencatat pertumbuhan yang baik tahun ini apabila ekonomi yang lebih meluas kembali pulih, dengan pertumbuhan akan didorong khususnya oleh penggunaan swasta dan pelaburan tetap, demikian menurut Fitch Solutions.

Ia berkata, perbelanjaan isi rumah benar di negara ini dijangka meningkat 5.1 peratus, peningkatan ketara daripada pertumbuhan hanya 0.5 peratus yang diunjurkan bagi 2021 berikutan kesan COVID-19 yang terus membebankan permintaan domestik.

"Dengan RM768.1 bilion pada 2022, perbelanjaan benar isi rumah akan menjadi 1.8 peratus lebih tinggi berbanding RM754.6 bilion yang dicatatkan pada 2019, iaitu persekitaran sebelum COVID-19," katanya dalam nota satu nota penyelidikan.

Fitch Solutions berkata, unjuran perbelanjaan pengguna itu adalah sejajar dengan pandangan pasukan risiko negara agensi penarafan itu bahawa bahawa ekonomi secara meluas akan berkembang sebanyak 5.5 peratus pada tahun ini.

Ia berkata, pemulihan ekonomi Malaysia daripada pandemik COVID-19 dijangka perlahan, memandangkan negara ini melaksanakan sekatan dan kawalan pergerakan yang berterusan selama hampir dua tahun.

Katanya, tinjauan permintaan dalam negeri menjadi lemah dengan ketara, dengan perbelanjaan pengguna pada 2021 berkemungkinan lebih rendah berbanding 2020.

"Kadar pengangguran negara ini akan mula berkurangan pada 2022, menyusut kepada purata 3.9 peratus sepanjang tahun berbanding 4.7 peratus pada 2021," katanya.

Fitch Solutions memberi amaran bahawa ancaman terbesar kepada ekonomi Malaysia adalah kembalinya ledakan kredit isi rumah yang berlaku dekad lalu sejak krisis kewangan global.

Ia berkata, keadaan itu berpotensi mengakibatkan penurunan dalam permintaan domestik di tengah-tengah kemerosotan harga hartanah.

"Ini bukan pandangan teras kami, namun risiko semakin meningkat dengan gangguan ekonomi yang teruk yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19," katanya.

Sementara itu, Fitch Solutions menjangkakan kadar inflasi akan kekal meningkat pada 2022 dan diunjur mengakhiri tahun ini pada tiga peratus peratus.

Sehubungan itu, ia berkata pasukan risiko negaranya menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2022 kepada 2.25 peratus menjelang akhir tahun.

Berita Harian X