Selasa, 11 Januari 2022 | 3:50pm
Gambar fail. - Bloomberg
Gambar fail. - Bloomberg

Penanda aras kadar faedah pinjaman dijangka naik

KUALA LUMPUR: StanChart menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mula menaikkan kadar faedah dengan dua kenaikan 25 mata asas (bps) iaitu pada suku ketiga (S3) 2022 dan 25 mata asas lagi pada suku keempat.

Kadar dasar semalaman (OPR) semasa ialah 1.75 peratus.

Ini berbeza sedikit daripada konsensus pasaran semasa, iaitu satu kenaikan 25 mata asas pada S3 2022, dan tiada pada S4, dengan kadar dasar 2.0 peratus pada akhir tahun ini, kata Ketua Ekonomi Standard Chartered Bank untuk ASEAN dan Asia Selatan, Lee Wee Kok.

Beliau berkata demikian pada Taklimat Penyelidikan Global StanChart 2022: Prospek Global dan Malaysia Separuh Pertama 2022 hari ini.

Beliau berkata bank pusat berkemungkinan tidak mengetatkan dasar pada separuh pertama (H1) berikutan pemulihan ekonomi yang semakin meningkat, walaupun indeks harga pengguna (IHP) utama akan meningkat melebihi 3 peratus tahun ke tahun (yoy) pada S4 2021 apabila diskaun elektrik luput.

"Kami menurunkan unjuran inflasi IHP 2021 kami kepada 2.5 peratus daripada 2.8 peratus disebabkan oleh subsidi, tetapi kami meningkatkan unjuran 2022 kami kepada 2.0 peratus daripada 1.6 peratus untuk mencerminkan asas yang lebih rendah dan pemulihan ekonomi," katanya.

Beliau menjangkakan inflasi teras, yang tidak termasuk sektor makanan dan tenaga, meningkat kepada 1.4 peratus pada 2022 daripada 0.7 peratus pada 2021.

"Walaupun berdepan S3 2021 yang mencabar, kami menjangkakan ekonomi akan pulih dengan kukuh pada suku tahun hadapan disebabkan program vaksinasi yang berjaya, permintaan luar yang kukuh serta sokongan daripada dasar monetari dan fiskal.

"Kami menjangkakan jurang pengeluaran akan dirapatkan pada penghujung 2022. Memandangkan kadar dasar yang rendah dari segi sejarah, kami menjangkakan BNM pada S3 2022 akan menyelaraskan semula tetapan dasar monetari dengan pemulihan ekonomi yang kukuh," tambahnya.

– Bernama

Berita Harian X