Selasa, 11 Januari 2022 | 1:05pm
Gambar fail. Pemandangan dari udara, kenderaan mangsa banjir yang ditinggalkan di tempat tinggi di sekitar Bukit Rangin baru-baru ini. - NSTP /FARIZUL HAFIZ AWANG
Gambar fail. Pemandangan dari udara, kenderaan mangsa banjir yang ditinggalkan di tempat tinggi di sekitar Bukit Rangin baru-baru ini. - NSTP /FARIZUL HAFIZ AWANG

Ekonomi dijangka berkembang 5.6 peratus tahun ini meskipun banjir

KUALA LUMPUR: Pemulihan ekonomi Malaysia dijangka kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang 5.6 peratus tahun ini meskipun berdepan bencana banjir baru-baru ini, demikian menurut HSBC.

Pengarah Urusan, Ketua Pegawai Pelaburan Asia Tenggara Global Private Banking and Wealth HSBC, James Cheo, berkata pemacu utama kepada pertumbuhan adalah peningkatan penggunaan swasta, momentum berterusan daripada aktiviti pembuatan, perbelanjaan infrastruktur dan kemasukan pelaburan langsung asing.

Beliau berkata, banyak syarikat dijangka akan memulakan semula aktiviti pengembangan mereka tahun ini memandangkan rancangan berkenaan telah ditangguhkan sejak dua tahun lalu akibat penularan pandemik COVID-19.

Katanya, kemungkinan besar tahun ini akan menjadi tahun yang mana syarikat akan mula melabur dan mengembangkan operasi mereka, terutamanya dengan prospek jangka panjang yang cerah untuk Asia Tenggara.

"Bagi tahun ini, pertumbuhan di Malaysia dijangka sangat kukuh iaitu 5.6 peratus bagi 2022. Saya fikir tunggak pertumbuhan bagi Malaysia sebahagian besarnya adalah penggunaan, pelaburan dan sokongan daripada sektor pembuatan yang kukuh," katanya pada taklimat media secara maya mengenai Tinjauan Pelaburan HSBC 2022, hari ini.

Mengenai inflasi, Cheo berkata, HSBC menjangkakan tekanan inflasi di negara ini dijangka rendah bagi tahun ini iaitu sekitar kira-kira 2.1 peratus.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara beransur-ansur dengan sebanyak 50 mata asas tahun ini.

"Kami jangka banyak negara mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat'. Bank pusat mungkin mengetatkan dasar kadar faedah mereka jika perlu, tetapi jika pandemik bertambah buruk, mereka mungkin melonggarkan dasar," katanya.

HSBC juga berpendirian neutral terhadap pasaran ekuiti Malaysia memandangkan pelabur sedang meninjau peluang yang berkaitan dengan pembukaan ekonomi yang akan meningkatkan perbelanjaan pengguna dan perbelanjaan infrastruktur.

Bank itu juga percaya bahawa mungkin tidak ada pendekatan drastik untuk melaksanakan sekatan dan kawalan penuh tahun ini dan menjangkakan rantau ini akan mengalami pertumbuhan ekonomi tahun ini.

Mengenai impak bencana banjir yang melanda beberapa negeri utama di Malaysia baru-baru ini, Cheo berkata, bencana banjir yang melanda semestinya memberi kesan kepada penduduk dan menambahkan tekanan terhadap isu jurang pendapatan.

Justeru, beliau berkata, isu perubahan iklim yang mencetuskan bencana banjir memerlukan perancangan oleh kerajaan untuk menangani kesan terhadap ketidaksamaan pendapatan dalam kalangan rakyat.

Beliau percaya, bantuan fiskal akan diberikan untuk membantu mereka yang terkesan memandangkan banjir adalah isu sosial yang perlukan bantuan kerajaan di samping sumbangan yang dihulurkan syarikat besar.

Dari segi kesan kepada jumlah hutang tidak berbayar (NPL), Cheo berkata, NPL dijangka tidak akan meningkat secara mendadak susulan banjir.

Beliau berkata, sektor perbankan di Malaysia dijangka tidak terkesan oleh kejadian banjir memandangkan sektor berkenaan akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan kukuh ekonomi tahun ini.

Berita Harian X