Isnin, 10 Januari 2022 | 4:58pm

MyDIGITAL Corp pastikan rangka tindakan ekonomi digital dilaksana

KUALA LUMPUR: MyDIGITAL Corporation, yang ditugaskan melaksanakan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, akan memastikan usaha itu terus dilakukan pada 2022 dengan penekanan terhadap pendigitalan sektor awam dan memupuk bakat digital.

Ketua Pegawai Eksekutif, Fabian Bigar berkata perbadanan itu, juga dikenali sebagai Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik (SCMO), akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi dan sektor swasta untuk merealisasikan matlamat yang ditetapkan dalam pelan tindakan itu.

Beliau berkata pihaknya memohon sokongan mereka dalam memastikan pelan tindakan itu tidak kekal sebagai dokumen sahaja.

"Merealisasikan inisiatif MyDIGITAL adalah penting dan mesti dilengkapkan dengan usaha lain supaya aspirasi digital Malaysia berhasil. Kita mesti menjadi peneraju ekonomi digital di rantau ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Fabian berkata pelbagai agensi telah ditugaskan untuk memenuhi pelbagai inisiatif yang ditetapkan dalam pelan itu.

"Kejayaan pelaksanaan semua inisiatif ini akan menjadi komponen utama dalam infrastruktur digital yang lebih besar MyDIGITAL.

"Pembuat dasar mempunyai peranan penting dalam pembangunan ekosistem yang mengutamakan digital. Sektor swasta juga ada peranan yang mereka perlu lakukan," katanya.

Beliau berkata usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penggunaan teknologi digital dan membantu usahawan yang terjejas teruk akibat pandemik dan kehilangan pendapatan.

"Ini termasuk mempercepat kadar penerimaan insentif, subsidi atau program bantuan; dan memperkemas pelbagai langkah sokongan yang tersedia daripada kementerian dan agensi yang berbeza," katanya.

Fabian berkata pendigitalan dalam semua aspek kehidupan juga meningkatkan risiko jurang digital.

Kekurangan akses Internet dan peranti pintar akan mengehadkan peluang golongan yang kurang bernasib baik kepada pendidikan berkualiti, perkhidmatan penjagaan kesihatan, pekerjaan dan manfaat lain.

"Justeru, penting untuk rakyat Malaysia menerima dan mengguna pakai pendigitalan supaya semua pihak akan dapat menikmati taraf hidup dan kemakmuran yang lebih baik, di samping merapatkan jurang digital secara berkesan, seiring dengan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara digital," katanya.

– Bernama

Berita Harian X