Rabu, 5 Januari 2022 | 2:03pm
Ladang kelapa sawit ditenggelami air banjir ketika tinjauan di Sapi Nangoh, Sabah - Foto BERNAMA
Ladang kelapa sawit ditenggelami air banjir ketika tinjauan di Sapi Nangoh, Sabah - Foto BERNAMA

Gangguan bekalan akibat banjir sokong kenaikan harga MSM

KUALA LUMPUR: Maybank Research positif terhadap perladangan di Malaysia memandangkan kebimbangan gangguan bekalan akibat banjir sekali-sekala di seluruh negara akan terus menyokong harga minyak sawit mentah (MSM).

Ia menjelaskan bahawa pengeluaran MSM Malaysia bagi Disember 2021 dianggarkan mencecah 1.45 juta tan, penurunan 11 peratus bulan ke bulan, menjadikan pengeluaran kepada 18.1 juta tan pada 2021.

"Berdasarkan harga yang tinggi, kami menjangkakan syarikat perladangan merekodkan satu lagi prestasi cemerlang pada suku keempat 2021," jelasnya dalam satu nota penyelidikan.

Mengenai harga MSM, Maybank menambah, keluk harga niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia Derivatives telah menunjukkan aliran tinggi sejak Mac 2020.

Menurutnya, berikutan musim hujan berterusan, operasi ladang terganggu dengan ketiadaan penuaian atau akses jalan ke kilang terjejas selama beberapa hari di Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Kelantan dan Sabah.

"Kami memahami kerugian hasil sudah boleh diuruskan setakat ini, diimbangi oleh harga MSM yang tinggi. Bagaimanapun, sektor ini masih belum keluar daripada kesukaran kerana musim hujan pada masa ini diramalkan berlanjutan sehingga Mac 2022.

"Sebarang gelombang banjir berikutnya atau sebarang banjir berpanjangan boleh merosakkan infrastruktur dengan teruk dan menjejaskan lagi operasi," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X