Selasa, 4 Januari 2022 | 1:30pm
Pengeluaran sawit bagi Disember 2021 susut 11 peratus berbanding bulan sebelumnya - Foto Reuters
Pengeluaran sawit bagi Disember 2021 susut 11 peratus berbanding bulan sebelumnya - Foto Reuters

Purata harga MSM cecah RM5,171 satu tan

KUALA LUMPUR: Harga spot minyak sawit mentah (MSM) mencecah purata RM5,171 satu tan pada suku keempat 2021, meningkat sebanyak 53 peratus berbanding setahun lalu dan 13 peratus lebih tinggi berbanding suku sebelumnya.

Penganalisis Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research, Ong Chee Ting, berkata harga yang tinggi kebelakangan ini sebahagiannya didorong kebimbangan gangguan bekalan disebabkan oleh banjir di seluruh negara.

"Kami menganggarkan output MSM di Malaysia pada Disember 2021 berada pada 1.45 juta tan atau susut 11 peratus berbanding bulan sebelumnya, menjadikan output bagi 2021 sebanyak 18.1 juta tan atau penurunan sebanyak lima peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Dengan rekod harga tertinggi, kami menjangkakan syarikat perladangan akan mencatatkan satu lagi keputusan kewangan cemerlang pada suku keempat 2021," katanya.

Chee Ting berkata, keluk harga niaga hadapan MSM Bursa Malaysia Derivatives (FCPO) mencatatkan trend lebih tinggi sejak Mac 2020, sejajar dengan keluk harga minyak kacang soya US Futures, kecuali apabila keluk harga minyak kacang soya berkembang sederhana sejak dua suku terdahulu.

"Buat masa ini, harga spot FCPO adalah lebih tinggi berbanding harga hadapan, dengan FCPO 12 bulan berada lebih RM1,000 diskaun kepada FCPO satu bulan RM5,159 satu tan, setakat 31 Disember 2021," katanya.

Sebagai perbandingan, beliau berkata keluk harga minyak kacang soya secara relatifnya adalah mendatar berbanding FCPO.

"Harga FCPO lebih tinggi dalam bulan-bulan terdekat bagi mencerminkan jangkaan bekalan yang terhad apabila industri memasuki bulan pengeluaran rendah bermusim pada suku pertama 2022.

"Walaupun harga FCPO satu bulan hampir kepada harga satu bulan minyak kacang soya, harga MSM bagi enam ke 13 bulan berada pada diskaun harga menarik lebih daripada AS$200 satu tan.

"Secara keseluruhan, bagi 2021 harga spot MSM berada pada purata RM4,430 satu tan atau meningkat 59 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya sambil menambah bank itu menganggarkan stok simpanan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi Disember 2021 berada di bawah paras bulan terdahulu iaitu sebanyak 1.82 juta tan.

Beliau berkata, La Nina dan monsun timur laut membawa hujan lebih lebih lebat berbanding kebiasaan yang menyebabkan banjir di beberapa negeri di Malaysia sejak awal Disember.

Tambahnya, sebahagian daripada Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Kelantan serta Sabah terkesan, manakala operasi estet terganggu selama beberapa hari di kawasan yang terjejas.

"Kami difahamkan bahawa kerugian hasil adalah terurus setakat ini, diimbangi oleh harga MSM yang tinggi.

"Bagaimanapun, sektor ini masih tidak terlepas daripada masalah kerana musim hujan ketika ini diramalkan berterusan sehingga Mac 2022 dan gelombang banjir atau bencana banjir berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur, sekali gus memburukkan lagi gangguan operasi," katanya.

Beliau berkata, rekod tertinggi MSM dan isirung meningkat 87 peratus berbanding tahun sebelumnya dan 52 peratus berbanding suku terdahulu, dengan harga jualan purata mengukuhkan lagi prospek perolehan syarikat perladangan bagi suku keempat 2021.

Katanya, harga yang lebih tinggi lebih daripada dapat mengimbangi kelemahan output di negara ini.

"Berikutan hujan lebat dan cabaran logistik untuk mendapatkan baja yang mencukupi, kami menjangkakan syarikat perladangan mempunyai peluang yang kecil untuk menguruskan keperluan baja diperlukan pada suku keempat 2021, sekali gus mengukuhkan lagi keuntungan memandangkan kos pengeluaran berkemungkinan adalah terkawal.

"Syarikat perladangan huluan dengan operasi yang lebih besar di Malaysia dan syarikat yang kurang mempunyai jualan ke hadapan akan terus mencatatkan prestasi lebih baik pada suku keempat 2021," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X