Ahad, 2 Januari 2022 | 1:32pm
Pembukaan semula ekonomi menyokong pertumbuhan dalam aktiviti penggunaan domestik -NSTP/Aswadi Alias
Pembukaan semula ekonomi menyokong pertumbuhan dalam aktiviti penggunaan domestik -NSTP/Aswadi Alias

Momentum pemulihan Malaysia dijangka berterusan

KUALA LUMPUR: Momentum pemulihan negara dijangka berterusan pada 2022 dengan pembukaan semula ekonomi menyokong pertumbuhan dalam aktiviti penggunaan domestik, demikian menurut MIDF Research.

Ia berkata, pemulihan ekonomi Malaysia mengukuh pada suku keempat 2021 dengan Indeks Pelopor (LI) berkembang untuk dua bulan berturut-turut sebanyak 0.3 peratus pada Oktober 2021 dan 0.6 peratus pada September 2021, dipacu oleh peningkatan dalam import benar semikonduktor terutama litar bersepadu elektronik.

Katanya, pengembangan dalam LI itu mencadangkan momentum pertumbuhan akan terus berkembang pada bulan-bulan mendatang.

"Kami mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kukuh 2022. Walaupun mengekalkan unjuran pertumbuhan bagi 2021 pada paras 3.7 peratus, kami jangka tinjauan pertumbuhan bagi 2022 akan lebih baik pada enam peratus.

"Kami jangka tinjauan perniagaan akan lebih baik dan peningkatan permintaan akan memacu perniagaan untuk meningkatkan aktiviti pengeluaran dan pelaburan pada 2022," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Selain itu, MIDF Research berkata, eksport negara akan terus berkembang disokong oleh permintaan luar yang semakin meningkat.

Namun begitu, ia berkata, dengan krisis kesihatan global yang masih berterusan, pihaknya kekal berhati-hati bahawa kemungkinan kemunculan varian COVID-19 baharu dan potensi pelaksanaan semula langkah pembendungan ketat boleh menjejaskan prospek pertumbuhan.

Katanya, risiko lain terhadap prospek pertumbuhan pada 2022 termasuk gangguan yang berpanjangan dalam rantaian bekalan global, inflasi yang tinggi daripada peningkatan kos pengeluaran dan peningkatan harga komoditi, kelembapan yang lebih ketara di China dan peningkatan turun naik dalam pasaran kewangan akibat pelarasan dalam dasar monetari bank pusat utama.

"Perbelanjaan pengguna dilihat semakin kukuh memandangkan pertumbuhan perdagangan runcit mencapai paras tinggi dalam 15 bulan sebanyak 4.8 peratus dari bulan ke bulan pada bulan pertama dalam suku keempat 2021," katanya.

Menuju ke hadapan, ia menjangkakan momentum pertumbuhan akan kekal pada dua bulan terakhir 2021 di tengah-tengah pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi dan perjalanan antara negeri.

Mengenai kadar pengangguran, MIDF Reseach menjangkakan pasaran pekerjaan akan terus mencatatkan kemajuan dipacu oleh pembukaan semula ekonomi pada suku keempat 2021.

Ia mengekalkan unjuran kadar pengangguran pada purata 4.5 peratus bagi 2021, sementara bagi inflasi pula, firma penyelidikan itu menjangkakan faktor inflasi tolakan kos akan mengekalkan kadar inflasi keseluruhan meningkat dalam tempoh terdekat.

Berita Harian X