Ahad, 2 Januari 2022 | 11:35am
Kekurangan tenaga kerja di ladang sawit dijangka dapat ditampung pada suku pertama 2022 - Foto hiasan
Kekurangan tenaga kerja di ladang sawit dijangka dapat ditampung pada suku pertama 2022 - Foto hiasan

Kekangan pekerja, baja jejas pengeluaran sawit

KUALA LUMPUR: Bekalan terhad pekerja asing di ladang kelapa sawit di tengah-tengah bencana banjir yang berlaku ketika ini, kos baja yang tinggi dan impak daripada varian Omicron, mungkin menjejaskan pemulihan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada 2022.

Tiga faktor itu dikemukakan oleh Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dalam laporan prospeknya.

Bekalan terhad MSM, bagaimanapun, sejajar dengan bekalan terhad minyak sayuran di seluruh dunia yang dijangka penganalisis akan melonjakkan harga komoditi lebih tinggi sekurang-kurangnya bagi separuh pertama tahun ini.

Menurut penganalisis, kekurangan tenaga kerja dijangka dapat ditampung pada suku pertama 2022 dengan pengeluaran minyak sawit dijangka pulih selepas Jun 2022.

"LMC International menekankan bahawa bekalan minyak sawit global hanya akan menyaksikan pertumbuhan minimum pada tempoh 2019 hingga 2022 berikutan bencana banjir pada akhir tahun dan kekurangan tenaga kerja di negara ini," kata majlis itu..

CPOPC juga menyatakan dalam webinarnya yang diadakan dua bulan lalu bahawa majoriti menjangkakan harga minyak sawit kekal tinggi dalam tempoh separuh pertama 2022 dan berada dalam aliran rendah pada separuh kedua.

Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI), sebagai contoh, menjangkakan harga minyak sawit kekal di atas paras AS$1,000 satu tan metrik dalam separuh pertama 2022 dan berpotensi bagi tempoh berbaki 2022.

LMC International juga melaporkan bahawa Indonesia dan Malaysia sedang berada dalam tempoh fenomena La Nina yang panjang dengan Oceanic Nino Index (ONI) 'lebih negatif berbanding -0.5'.

Menurutnya, pola keluk ONI sejak 2020 sama seperti pola pada 2010 hingga 2011, dengan La Nina melemah dan kemudiannya kembali semula.

"Jika pola pada 2012 diambil kira, La Nina sepatutnya berakhir pada 2022. Peningkatan ONI dikaitkan dengan peningkatan pertumbuhan pengeluaran dan penurunan ONI dikaitkan dengan pertumbuhan perlahan pengeluaran. Ini terutama bagi pengeluaran di Indonesia," kata laporan itu.

Majlis itu berkata, kos baja yang tinggi disebabkan gangguan rantaian bekalan, permintaan tinggi, peningkatan muatan dan kos input akan menyebabkan pekebun kecil mengurangkan penggunaan baja tahun ini, berpotensi mengurangkan pengeluaran pada tahun-tahun akan datang.

Menurutnya, baja adalah satu lagi komponen kos utama selepas kos buruh bagi pengeluar minyak sawit, iaitu kira-kira 30 peratus hingga 35 peratus daripada kos luar kilang.

"Syarikat-syarikat akan terus membajakan pokok kelapa sawit dengan nutrien ini meskipun harga tinggi, tetapi mereka mungkin tidak menerima kuantiti yang dipesan berikutan kekangan bekalan dan penyusunan penghantaran yang tidak menentu.

"Penanam kelapa sawit sangat bergantung kepada baja diimport tetapi peladang di Indonesia mempunyai kelebihan kerana pengeluaran urea tempatan mencukupi untuk menampung permintaan domestik.

Ia berkata, berdasarkan sumber industri, anggaran import baja bagi 2021 adalah 60 peratus hingga 65 peratus daripada keperluan biasa tahunan.

"Memandangkan kekangan logistik tidak dijangka mereda dalam tempoh terdekat ini, 2022 dijangka menyaksikan import baja yang lebih rendah dan pekebun kecil mungkin akan terpaksa sekali lagi mengurangkan penggunaan baja mereka.

"Impak pengurangan penggunaan baja pada 2018 dan 2019 memperlihatkan hasilnya hari ini apabila pemulihan hasil lebih rendah berbanding biasa. Akibatnya, Indonesia dan Malaysia mungkin tidak dapat meningkatkan pertumbuhan pengeluaran pada 2022," kata CPOPC.

Pengeluaran minyak sawit di Indonesia meningkat 6.7 peratus pada suku kedua 2021, peningkatan daripada pertumbuhan 1.5 peratus pada suku pertama, didorong oleh taburan hujan yang lebih baik pada 2020.

Bagaimanapun, pengeluaran pada suku ketiga terjejas sedikit disebabkan banjir di Kalimantan yang mengganggu penuaian kelapa sawit manakala pada suku keempat, GAPKI mengumumkan pengeluaran terus merosot.

GAPKI menyemak semula unjuran pengeluaran minyak sawitnya untuk Indonesia kepada 46.6 juta tan metrik, turun 0.9 peratus daripada 2020.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menganggarkan pada 2021 pengeluaran minyak sawit di negara ini susut kepada 18.3 juta tan metrik daripada 19.2 juta tan metrik pada 2020.

Stok akhir minyak sawit dijangka kekal di bawah paras purata 4.0 juta tan metrik di Indonesia dan 2.1 juta tan metrik di Malaysia.

Indonesia dan Malaysia masing-masing mengeluarkan kira-kira 85 peratus daripada keperluan minyak sawit dunia.

China dan India akan terus menjadi pengimport utama minyak sawit, dua negara yang mempunyai paling ramai penduduk di dunia.

China adalah pembeli minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas India dan mengimport kira-kira enam hingga tujuh juta tan metrik komoditi tropika itu dari Indonesia dan Malaysia setiap tahun.

"Pada 2022, penggunaan minyak sawit China dijangka meningkat berikutan bekalan minyak biji sesawi dan minyak soya yang lebih rendah. China juga dilihat membeli lebih banyak produk sawit untuk makanan haiwan.

"Sementara itu, pembelian minyak sawit oleh India berkemungkinan dirangsang oleh pemulihan dalam segmen hotel, restoran dan katering serta penurunan duti import minyak sawit," kata CPOPC.

Import minyak sawit India dianggarkan sebanyak 8.6 juta tan metrik pada 2021 dan 2022.

Eksport ke Kesatuan Eropah (EU) dijangka merosot tahun ini, sebahagiannya disebabkan oleh harga minyak sawit yang tidak menarik untuk pengadunan biodiesel dan pelaksanaan awal langkah tenaga boleh diperbaharui RED II oleh beberapa negara anggota EU, sekali gus mengekang import minyak sawit.

Cadangan undang-undang dan usaha wajar Suruhanjaya Eropah untuk memerlukan bukti bahawa import pertanian tidak dikaitkan dengan penebangan hutan berpotensi menjejaskan sentimen minyak sawit.

Menurut Refinitiv Agricultural Research, permintaan minyak sawit global untuk 2021 dan 2022 diunjurkan sebanyak 50.6 juta tan metrik, meningkat 6.5 peratus berbanding musim sebelumnya sekiranya tiada penurunan permintaan besar-besaran.

"Terdapat lebih banyak penghantaran minyak sawit ke China menjelang Tahun Baru Cina dan Sukan Olimpik Musim Sejuk pada Februari 2022.

"Bagaimanapun, kenaikan harga mungkin terbatas pada bulan-bulan akan datang oleh aktiviti menghancurkan kacang soya yang lebih tinggi baru-baru ini dalam persekitaran margin penghancuran yang lebih baik, ia akan membawa kepada bekalan minyak kacang soya domestik yang lebih tinggi.

"Selain itu, diskaun minyak sawit dinyahbau luntur bertapis ke atas minyak kacang soya telah mengecil, sekali gus berpotensi melemahkan minat belian pengguna," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X