Jumaat, 31 Disember 2021 | 5:10pm
Eksport produk perkayuan dari Malaysia ialah perabot, kayu lapis dan kayu gergaji - Foto hiasan
Eksport produk perkayuan dari Malaysia ialah perabot, kayu lapis dan kayu gergaji - Foto hiasan

Eksport perkayuan negara disasar cecah RM23 bilion

MELAKA: Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) menyasarkan hasil eksport perkayuan dan produknya mencecah RM23 bilion pada tahun ini, kata Ketua Pengarahnya, Mahpar Atan.

Beliau berkata, sasaran eksport itu dijangka meningkat berbanding pada 2020 yang mencatatkan hasil eksport sebanyak RM22.01 bilion.

"Faktor itu juga dipengaruhi oleh harga yang lebih tinggi walaupun kuantiti yang sama selain permintaan kayu yang bertambah walaupun tidak begitu drastik dan nilai maksimum yang boleh dicapai hanya RM23 bilion.

"Pada Januari hingga Oktober tahun ini, hasil eksport industri perkayuan di negara ini merekodkan RM17.95 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu RM17.80 billion dengan peningkatan 0.8 peratus saja," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Pembangunan Usahawan Bumiputera Mikro yang dilancarkan oleh Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), Norrida Yusoff di Bukit Rambai di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahpar berkata antara negara eksport utama bagi industri itu ialah Amerika Syarikat (AS), diikuti Jepun, China, Singapura dan India.

Kebanyakan eksport produk perkayuan dari negara ini ialah perabot, kayu lapis dan kayu gergaji.

Sementara itu, beliau berkata industri perkayuan juga mencatatkan kerugian yang dianggarkan hampir RM10 juta berikutan bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Lembah Klang dan Selangor pada pertengahan bulan ini.

"Ia membabitkan kerosakan bahan mentah, peralatan seperti mesin-mesin kerja kayu dan produk perabot yang ditenggelami air di kilang perindustrian serta pembekal-pembekal kecil," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X