Khamis, 30 Disember 2021 | 11:35am
Minat dunia terhadap minyak sawit dilihat semakin meningkat -NSTP/Luqman Hakim Zubir
Minat dunia terhadap minyak sawit dilihat semakin meningkat -NSTP/Luqman Hakim Zubir

Kemampanan industri sawit mampu tarik pelabur

KUALA LUMPUR: Berdasarkan minat dunia terhadap minyak sawit dilihat semakin meningkat sejajar populasi global, minyak makan akan terus dipantau terutama dalam bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) untuk memastikan industri terus mampan dan menarik untuk pelabur.

Ini khususnya, pematuhan kepada 11 petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan penggajian pekerja asing membabitkan keadaan hidup mereka, akses kepada penjagaan kesihatan dalam tempoh pandemik, kegagalan untuk membayar balik semua yuran pengambilan oleh majikan dan kegagalan lain akan diteliti.

Selain itu, industri dan pihak berkepentingan terus menghadapi tekanan dengan isu mengenai tanaman memberi impak negatif kepada alam sekitar.

Bagaimanapun, usaha lebih giat dilaksanakan untuk menangani kebimbangan mengenai alam sekitar dan sosial melalui skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

Dalam mencapai Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), syarikat besar dan kecil serta pekebun kecil sedang meningkatkan pematuhan kemampanan mereka.

Kerajaan turut menyatakan komitmen terhadap pengurangan perubahan iklim pada Persidangan Perubahan Iklim PBB 2021 (COP26) baru-baru ini apabila ia menyertai pemimpin dunia yang komited untuk menghenti dan memulihkan kemusnahan hutan serta degradasi tanah menjelang 2030.

Ia turut mengumumkan menggabungkan inisiatif yang membawa kepada ekonomi rendah karbon, berdaya tahan terhadap iklim berdasarkan pembangunan yang bersih, hijau dan berdaya tahan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk tempoh lima tahun pada September lalu.

Pensyarah Kanan dan Felo Pendidikan dan Penyelidikan Minyak Sawit Monash-Industri (Monash-Industry Palm Oil Education and Research - MIPO), Qua Kiat Seng, berkata beliau yakin industri itu sedang berusaha ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih.

"Pengukuran data adalah penting demi penambahbaikan. Dalam aspek ini, kalkulator gas rumah hijau (GHG) Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang bakal ada tidak lama lagi akan memberi manfaat kepada kita.

"Oleh itu, kita dapat melihat kedudukan negara melalui 96 peratus ladang dan 89 peratus kilang yang menerima pensijilan MSPO. Perlu diingat, hanya 20 peratus mendapat pengiktirafan RSPO," katanya dalam ruangan pendapat di The Edge baru-baru ini dan maklumat itu turut dikongsikan kepada Bernama.

Kiat Seng berkata, minyak sawit bernasib baik kerana memulakan perjalanan kemampanannya sejak awal dan mendahului selama 15 tahun.

Beliau berkata ,minyak sawit mampan mempunyai purata pelepasan 0.45 tan karbon dioksida bersamaan setiap tan minyak berbanding 2.89 tan soya, 2.47 tan biji sesawi dan 1.18 tan bunga matahari.

Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) adalah antara syarikat besar yang menerbitkan Laporan Penarafan Kemampanan pada 21 Oktober lalu dengan RAM Sustainability mengesahkan penarafan kemampanannya pada Gold (G2).

Sebagai ahli RSPO, KLK komited ke arah Tanpa Penebangan Hutan, Tanpa Tanah Gambut, Tanpa Eksploitasi (NDPE) dan menggunakan kalkulator GHG RSPO untuk mengukur pelepasan GHG.

Dalam pada itu, Indeks Kesediaan Sifar Bersih (NZRI) pertama oleh KPMG Malaysia mendapati negara ini berada pada kedudukan ke-21 dalam kalangan 32 negara.

Indeks itu membandingkan kemajuan negara-negara terpilih dalam mengurangkan pelepasan gas hijau yang mengakibatkan perubahan iklim, di samping menilai kesediaan dan kemampuan negara-negara itu untuk mencapai sifar pelepasan menjelang 2050.

"Cabarannya kini adalah untuk pergi lebih daripada itu, memastikan setiap pihak menjalankan peranan masing-masing. Sektor swasta dan kerajaan adalah enjin pertumbuhan karbon rendah dan mereka mahukan kejelasan dan kepastian mengenai dasar sifar bersih kerajaan.

"Sehubungan itu, sekiranya Malaysia mencapai matlamat sifar bersih menjelang 2050, penting bagi kerajaan menetapkan dasar yang jelas untuk membolehkan pergerakan hijau.

"Ini termasuk memacu pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, menyediakan mekanisme sokongan inovasi peringkat awal oleh perusahaan kecil dan sederhana serta mewujudkan pasaran untuk produk dan perkhidmatan rendah karbon," kata Ketua Tadbir Urus dan Kemampanan KPMG Malaysia Kasturi Nathan.

Pengerusi IRGA Sdn Bhd, M.R. Chandran berkata tugas sukar untuk menambah baik norma ESG sedang dilaksanakan di semua peringkat industri dan masyarakat, mendorong perubahan positif yang sewajarnya seterusnya menyokong keyakinan pelabur dalam industri minyak sawit.

"Hanya masyarakat inklusif boleh mencapai persamaan perubahan iklim yang tepat. Justeru, ahli politik perlu merangka semula agenda mereka dan menghindari dasar yang pecah belah dan bukan inklusif," katanya.

Chandran, yang juga penasihat kepada RSPO berkata, kehilangan biodiversiti dan hutan stok karbon tinggi, penanaman di kawasan gambut serta pelanggaran hak asasi manusia mungkin terus menjadi keutamaan dalam agenda Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK) dan juga negara-negara Asia pengimport yang lain dalam beberapa bulan dan tahun akan datang.

Oleh yang demikian, beliau menggesa pihak industri supaya menjangkakan tekanan lebih memuncak terhadap pengurangan jejak GHG dan pematuhan piawaian ESG yang terbaik dalam kelasnya.

Beliau mencadangkan usaha penyelidikan baharu bagi mereka bentuk landskap untuk penanaman kelapa sawit yang boleh membawa kepada peningkatan ketara biodiversiti tanpa memberikan kesan buruk ke atas hasil unit perlu dijalankan.

Di EU, contohnya, Perancis akan menjadi pusat bagi kempen menentang minyak sawit tahun depan, memandangkan negara itu akan mengadakan pemilihan April dan kempen bagi jawatan presiden pada separuh pertama 2022.

Chandran juga berkata, piawaian pensijilan membantu mewujudkan dan mengekalkan permintaan pengguna untuk Minyak Sawit Mampan Diperakui (CSPO) menerusi sasaran bertanggungjawab yang dikongsi serta untuk menjamin kualiti produk.

Ini direka untuk memastikan bahawa ahli RSPO hiliran memacu transformasi pasaran dengan memberi komitmen untuk masing-masing meningkatkan pengambilan CSPO.

Bekalan CSPO kini mengatasi permintaan, dengan jurang sebanyak 25 peratus.

Ini memerlukan pemeriksaan teliti ke atas kuasa pasaran dan pemacu permintaan, katanya.

"Perkongsian merentasi sektor awam, swasta dan organisasi bukan kerajaan menjadi keperluan untuk memacu pengambilan CSPO, terutama dalam pasaran pengguna yang besar seperti India, China dan Indonesia di mana kesedaran mengenai konsep minyak sawit mampan adalah masih rendah.

"Justeru, sebarang skim pensijilan kemampanan perlu diterapkan sepenuhnya ke dalam rantaian bekalan global dan dilihat sebagai alat perniagaan yang baik, inklusif untuk pertumbuhan yang menguntungkan," katanya.

Chandran berkat,a ini susulan potensi besar piawaian untuk menyelesaikan banyak masalah yang membelenggu realiti sosioekonomi seperti membantu menentukan akses pasaran; kecekapan ekonomi; kos, kualiti dan ketersediaan produk; pertumbuhan ekonomi dan inovasi; serta pembangunan keseluruhan pasaran.

Mengenai mekanisasi dan automasi untuk pengeluaran tanaman mampan di bawah Pertanian 4.0, veteran perladangan itu berkata, COVID-19 memberi penekanan kepada kuasa perubahan teknologi digital sebagai langkah untuk meneruskan aktiviti komersial dan ekonomi.

Ia turut menekankan keperluan segera kepada mekanisasi dan automasi dalam industri sawit berikutan sektor itu di Malaysia sedang bergelut dengan kekurangan buruh yang ketara dengan pandemik yang berterusan.

"Mekanisasi adalah komponen penting dalam kemampanan berikutan ia memudahkan dan mengurangkan kerja berat, mengatasi kekurangan tenaga kerja dan meningkatkan produktiviti serta penggunaan sumber yang cekap.

"Penting bagi industri sawit meningkatkan usaha mekanisasi untuk menangani dimensi teknologi, ekonomi, sosial dan alam sekitar untuk pembangunan industri yang mampan," katanya sambil menambah semasa krisis kesihatan baru-baru ini, populasi pekerja asing menjadi golongan yang mudah terjejas berikutan keadaan hidup mereka dan akses yang lemah kepada kesihatan menyumbang kepada penularan penyakit itu dengan ketara.

Katanya, industri perlu meletakkan sasaran untuk menjadi contoh pengeluaran yang mampan dengan berpegang teguh kepada menetapkan piawaian tatalaku dan pematuhan tanpa sebarang ketidakpastian atau keraguan.

-BERNAMA

Berita Harian X