Rabu, 22 Disember 2021 | 11:25am

Skim Saraan Bercagar dibuka permohonan 17 Januari ini

KUALA LUMPUR: Skim Saraan Bercagar (SSB) Cagamas Bhd akan dibuka untuk permohonan daripada pemilik rumah yang layak di Lembah Klang pada 17 Januari 2022.

Dilancarkan oleh Cagamas baru-baru ini, SSB ialah skim gadai janji berbalik yang bertujuan membantu warga emas membiayai persaraan mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, perbadanan gadai janji nasional itu berkata orang ramai kini boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai ciri, kriteria kelayakan dan proses permohonan daripada laman web SSB di www.ssb.cagamas.com.my.

"Untuk memudahkan pemahaman dan pengetahuan tentang skim ini, bahagian soalan lazim (FAQ) disertakan di laman web," katanya.

Menurut Cagamas, bagi pelancaran perintis di Lembah Klang, pemilik rumah bersara berumur 55 tahun dan ke atas boleh membuat pertanyaan dan mengemukakan permohonan mereka mulai Isnin, 17 Januari 2022 dan seterusnya di cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terpilih, yang akan disenaraikan di laman web SSB awal tahun hadapan.

SSB dijangka boleh didapati di seluruh negara menjelang pertengahan 2022, katanya sambil menambah kepada yang berminat boleh mengajukan pertanyaan ke emel ssb@cagamas.com.my.

– Bernama

Berita Harian X